BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 EKONOMI

PKNS, Samsung Malaysia bekerjasama beri diskaun barangan Samsung untuk pembeli rumah

23/03/2023 11:42 PM

SHAH ALAM, 23 Mac (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Samsung Malaysia Electronics hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk memberi peluang kepada pembeli rumah perbadanan itu mendapatkan produk peralatan rumah jenama Samsung dengan harga diskaun.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata MoU tersebut akan memberikan manfaat kepada pembeli yang ingin rumah baharu mereka dilengkapi keperluan moden dan berkualiti menggunakan jenama yang boleh dipercayai.

Beliau berkata kerjasama itu akan dimulakan menerusi projek rumah teres dua tingkat, Puteri Ariana di Kota Puteri, dekat sini yang dijangka dilancarkan pada Mei depan.

“Bagi projek ini, kita akan cuba skim perintis yang akan menawarkan pembelian rumah dengan beberapa pakej khas, contohnya pakej A dilengkapi dengan alat penyaman udara dan komputer, manakala pakej B mempunyai alat penyaman udara dan televisyen.

“Perkara ini tidak termaktub dalam harga rumah, tetapi berbentuk pilihan untuk pelanggan kami,” katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU berkenaan di sini hari ini yang ditandatangani oleh Mahmud mewakili PKNS, manakala Samsung Malaysia diwakili Presidennya Denny Kim.

“Selain itu, kita (PKNS) juga akan menggunakan khidmat Samsung untuk menghasilkan bangunan pintar terhadap projek-projek akan datang seperti kondominium dan pusat beli-belah,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan