JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TAHAN 119 INDIVIDU, RAMPAS BARANGAN SELUDUP BERNILAI RM37 JUTA

23/03/2023 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 119 individu dan merampas barangan bernilai RM37 juta dalam serbuan membanteras kegiatan penyeludupan dan penyelewengan barangan kawalan di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga Selasa lepas. 

Setiausaha PDRM Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata ia hasil 45 serbuan dibuat PDRM melalui Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar Perisikan Siasatan Khas melibatkan Op Kontraban dan Op Tiris.

Beliau berkata menerusi Op Kontraban, pihaknya menahan 43 individu serta merampas rokok serta minuman keras dalam tin serta botol bernilai RM19 juta.

"Pecahan nilai rampasan ialah RM10 juta pada Januari, Februari (RM6 juta) dan sehingga 21 Mac (RM2.5 juta).

"Dalam tempoh sama, PDRM turut membuat 24 serbuan dengan nilai rampasan berjumlah lebih RM18 juta melalui Op Tiris membabitkan minyak diesel, minyak petrol dan minyak masak serta menahan 76 individu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata PDRM komited dan fokus dalam usaha memerangi jenayah kontraban serta penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi selain usaha sama dengan agensi lain akan diteruskan bagi mengekang jenayah itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan