AM

UMS, ITBM JALIN KERJASAMA BIDANG TERJEMAHAN DAN SUNTINGAN

23/03/2023 05:43 PM

KOTA KINABALU, 23 Mac (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) menjalinkan kerjasama bagi memperkasa bidang penterjemahan dan penyuntingan antara kedua-dua pihak.

Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor dalam kenyataan berkata MoU itu antara lain bertujuan meningkatkan bilangan penterjemah dan penyunting bertauliah dalam kalangan kakitangan akademik UMS.

Beliau berkata kerjasama ini juga adalah bagi mengetengahkan UMS sebagai antara hab khidmat terjemahan dan suntingan berkuaiti di Sabah dan di Malaysia amnya. 

“Selain itu, kedua-dua pihak juga komited untuk memperkenalkan bidang dan kebolehan terjemahan dan suntingan sebagai satu kerjaya yang boleh dipercayai, berpotensi dan mampu memberi nilai tambah,” katanya. 

UMS dan ITBM menjalin kerjasama itu melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani  Kasim dan Pengarah Urusan ITBM merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Sakri Abdullah serta Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM Nor Azanizan Anawar di Bilik Mesyuarat Senat UMS di sini hari ini. 

Menurut Kasim UMS dan ITBM bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam tiga perkara, termasuk menganjurkan Bengkel Penterjemahan dan Penyuntingan untuk kakitangan akademik UMS bagi memperluaskan bilangan penterjemah bertauliah di UMS.

Kerjasama itu juga bertujuan membangunkan dan mempromosikan UMS sebagai ITBM East Malay Hub termasuk penyediaan logistik dan khidmat kepakaran oleh ITMB.

“Perkara ketiga ialah dari aspek penerbitan buku, iaitu memberi pendedahan, latihan dan peluang kepada warga UMS untuk menerbitkan buku tanpa kerumitan proses penerbitan dan masalah kos,” kata Kasim.

Naib Canselor UMS itu berkata skop kerjasama yang menyeluruh itu bakal memberi impak yang positif dalam kemenjadian UMS sebagai salah satu hab khidmat suntingan dan terjemahan berkualiti dan secara tidak langsung dapat meningkatkan keterlihatan dan prestij universiti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan