DUNIA

1.4 JUTA BELIA DI THAILAND MENGANGGUR, TIADA PENDIDIKAN -- UNICEF

23/03/2023 04:35 PM

BANGKOK, 23 Mac (Bernama) – Hampir 1.4 juta atau 15 peratus belia berumur 15 hingga 24 tahun di Thailand didapati menganggur, tidak mendapat pendidikan atau latihan (NEET), menurut satu laporan Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Kajian baharu bertajuk, “In-depth Research on Youth Not in Employment, Education or Training in Thailand”  mendapati 68 peratus belia tidak mempunyai motivasi untuk mengikuti kursus kemahiran atau bekerja kerana menganggap tidak berpeluang.

Kajian itu mendapati kira-kira 70 peratus belia NEET adalah wanita - kebanyakannya berhenti sekolah akibat mengandung atau memikul tanggungjawab menjaga - dan punca NEET adalah kompleks serta merangkumi pelbagai aspek.

Menurut laporan itu faktor seperti jantina, etnik, kesihatan, pencapaian pendidikan yang rendah, kekurangan peluang dan sokongan, serta keadaan sosioekonomi yang lemah serta ketidakpadanan kemahiran, meletakkan golongan muda berisiko menjadi NEET.

“Pandemik COVID-19 telah memburukkan keadaan dan meningkatkan bilangan NEET. 

“Selain isu pembelajaran, ia telah menyebabkan tempoh pencarian pekerjaan yang lebih lama, kehilangan pekerjaan, peluang pendidikan dan latihan dalam kalangan belia semakin berkurangan, hingga meningkatkan keputusasaan dalam pendidikan, latihan, dan mencari pekerjaan,” menurut laporan itu.

Kajian yang dikeluarkan pada Rabu, adalah kajian mendalam pertama dalam memberi gambaran komprehensif NEET belia di Thailand.

Sementara itu, Perwakilan UNICEF di Thailand Kyungsun Kim berkata sebahagian besar belia yang tidak mengambil bahagian dalam sektor ini menjadi kebimbangan utama di Thailand, terutamanya apabila ia antara negara mempunyai kadar penuaan terpantas di dunia.

“Ini bermakna kami bertanggungjawab untuk membantu mereka kembali ke landasan yang betul, agar mereka mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan latihan kemahiran, menyediakan peluang pekerjaan, dan menjadi warganegara yang menyumbang kepada kemakmuran dan kesaksamaan Thailand,” katanya.

Kim berkata, belia NEET terdedah kepada risiko kemiskinan dan penyisihan sosial yang tinggi.

UNICEF menyeru tindakan segera untuk menangani cabaran ini, dengan cadangan penubuhan pusat perkhidmatan sehenti di seluruh negara untuk menyediakan sokongan bersepadu menyasarkan golongan muda dan NEET.

Pusat-pusat ini akan menawarkan pakej perkhidmatan yang komprehensif, termasuk perundingan, aktiviti penglibatan, sokongan kewangan dan pilihan pembiayaan yang boleh diakses untuk membantu belia kembali ke landasan yang betul.

Pejabat Statikal Kebangsaan berkata bilangan belia dalam tenaga buruh menurun daripada 4.8 juta pada 2011 kepada 3.7 juta pada 2021.

Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun meningkat daripada 5.8 peratus pada 2011 kepada 6.5 peratus pada suku ketiga 2022, jauh lebih tinggi daripada kadar pengangguran golongan dewasa iaitu pada 0.7 peratus.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan