WASHINGTON, 23 Mac (Bernama-Sputnik) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan mengadakan lawatan dua hari ke Kanada bermula Khamis, lapor Sputnik.
Beberapa isu penting termasuk perdagangan dan konflik di Ukraine, dijangka menjadi agenda utama Biden untuk lawatan kali ini.
Menurut Rumah Putih, kunjungan itu akan menjadi pertemuan dua hala pertama antara pemimpin AS dan Kanada sejak 2009.
Presiden AS dan Wanita Pertama Jill Biden akan tiba di Ottawa pada sebelah petang dan ketibaan mereka disambut Gabenor Jeneral Kanada Mary Simon.
Biden akan memulakan mesyuarat dua hala dengan Trudeau pada Jumaat, di mana kedua-dua pemimpin dijangka mengesahkan komitmen berterusan terhadap perkongsian AS-Kanada.
Pemimpin Amerika itu kemudiannya akan mengikuti sesi Parlimen Kanada dan dalam ucapannya menekankan perkongsian AS-Kanada memberi manfaat bukan sahaja kepada dua sekutu tetapi seluruh dunia, menurut Rumah Putih.
Rumah Putih menyifatkan kunjungan Biden kali ini adalah "lawatan bermakna" berikutan Kanada merupakan antara sekutu rapat Amerika Syarikat selama lebih 150 tahun.
Biden dan Trudeau akan membincangkan langkah konkrit meningkatkan perbelanjaan pertahanan, memacu "perlumbaan" global ke arah tenaga bersih, serta membina ekonomi yang makmur dan inklusif, menurut Rumah Putih.
Kedua-dua pemimpin itu juga dijangka menekankan kesediaan mereka untuk terus menyokong Ukraine dan kestabilan di Haiti.
Presiden AS juga akan menggariskan faedah Akta Pengurangan Inflasi, Akta CHIPS dan Sains, dan perjanjian AS-Mexico-Kanada bagi mempromosikan kemakmuran dan tenaga bersih.
Presiden AS juga akan membincangkan isu penghijrahan di hemisfera barat yang menjejaskan Amerika Syarikat dan Kanada.
--BERNAMA-SPUTNIK
© 2025 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan