BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 AM

Kebajikan pengamal media di Bernama dititikberatkan - KKD

23/03/2023 02:37 PM

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Pelbagai aspek dititikberatkan berhubung hal ehwal kebajikan pengamal media di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) termasuk kebajikan atau faedah yang diterima oleh pekerja bertaraf kontrak.

Kementerian Komunikasi Digital (KKD) menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan ia termasuk kenaikan gaji tahunan, pembayaran elaun pembaca berita, kemudahan perubatan tahunan, kemudahan cuti rehat dan cuti sakit serta kemudahan lain yang layak bagi petugas kontrak.

“Petugas juga menikmati kemudahan bayaran bil telefon bimbit dan kelayakan membuat tuntutan perjalanan apabila melaksanakan tugasan di luar pejabat.

“Aspek kebajikan ini juga merangkumi khidmat bimbingan terutama bantuan emosi iaitu petugas diberi ruang meluahkan isi hati mengenai perkara berkaitan kerja melalui Akrab Bernama,” menurut jawapan itu. 

Ia bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu bagaimanakah kementerian membantu meningkatkan gaji dan kebajikan pengamal media seperti didedahkan oleh bekas penyampai berita Bernama sebelum ini. 

Dalam pada itu, menurut KKD jaminan kebebasan media di negara ini adalah antara komitmen kerajaan bagi memastikan proses semak dan imbang adalah lancar serta berkesan.

Menurut KKD, pihaknya juga sedang giat membuat penilaian dan mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan berhubung cadangan menubuhkan sebuah majlis yang berfungsi melindungi kebebasan wartawan dan media, serta memperkasakan profesionalisme kewartawanan dalam meningkatkan standard pengamal media yang beretika dan bertanggungjawab. 

Bagi menghargai dan memartabatkan profesion kewartawanan, KKD melalui Bernama menganjurkan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) yang merupakan platform kepada golongan wartawan dan pengamal media berkongsi pendapat dalam membantu membangunkan negara serta mengukuhkan perpaduan masyarakat melalui penulisan yang beretika.

Selain itu, HAWANA dapat memperkukuh hubungan sedia ada antara media dan kerajaan di samping mengekalkan perpaduan dalam kalangan wartawan dan media di negara ini. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan