BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) kini sedang disemak semula dalam usaha memantapkan aspek penjagaan dan kebajikan golongan itu susulan jangkaan Malaysia akan mencapai taraf negara tua menjelang 2030, Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata untuk itu, kementerian akan mendapatkan pandangan dan input daripada agensi peneraju dan pelaksana bagi penghasilan PTWEN 2023-2030.
“Selaras dengan keperluan semasa dan akan datang, Dasar Warga Emas Negara (DWEN) dan PTWEN merupakan komitmen kerajaan untuk mewujudkan warga emas yang berdikari, bermartabat diri dan dihormati dengan mengoptimumkan potensi diri melalui penuaan sihat, positif, aktif, produktif dan menyokong untuk meningkatkan kesejahteraan hidup dalam pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai pada sesi soal jawab lisan yang ingin tahu tentang tindakan dan pendekatan kerajaan bagi menghadapi jangkaan Malaysia yang akan mencapai negara tua.
Selain itu, Nancy berkata kementerian juga sedang menjalankan kajian untuk mewujudkan akta khusus bagi warga emas di Malaysia dengan kajian dilaksanakan konsultan dari Universiti Malaysia.
“Kita juga telah mendrafkan Rang Undang-Undang Warga Emas (yang) bertujuan untuk menjaga kesejahteraan warga emas...jadi pasukan projek khas telahpun ditubuhkan bagi meneliti lanjut kesesuaian rang undang-undang yang dibuat itu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial