EKONOMI

MITI AKAN TERUS LINDUNGI KEPENTINGAN PKS, PERNIAGAAN DALAM KERJASAMA DI PERINGKAT ASEAN - TENGKA ZAFRUL

22/03/2023 08:09 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan terus melindungi kepentingan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan tempatan walaupun menjalin kerjasama di peringkat Asean.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, rakyat, perniagaan dan ekonomi rantau Asean telah menghadapi pelbagai impak akibat pandemik. 

“Bagaimanapun, saya percaya pandemik telah merapatkan hubungan kekeluargaan dan menguatkan semangat kebersamaan Asean dalam menangani masalah di rantau ini,” katanya menerusi hantaran di laman media beliau selepas menghadiri Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi (dan Perdagangan) Asean ke-29 (AEM 29) di Magelang, Indonesia.

Beliau berkata Pengerusi Asean-BAC bagi tahun 2023, Arsjad Rasjid telah memberi taklimat kepada mesyuarat tersebut mengenai projek sektor swasta di bawah payung Asean serta inisiatif utama pada tahun ini.

“Ini adalah waktu untuk Asean terus bersatu hati, dengan satu suara. Berdasarkan perkembangan politik global semasa, inilah peluang untuk Asean menyinar, contohnya, sebagai hab rantai bekalan kepada pelbagai rantau ekonomi lain,” kata Tengku Zafrul.

Menurutnya, perbincangan pada pemukiman itu hari ini berkisar kepada dasar baharu dan sedia ada yang bakal meningkatkan kapasiti rakyat, PKS dan perniagaan dalam menangani cabaran semasa.

“Kita perlu lebih holistik dan strategik dalam menjana pemulihan dan pembangunan yang mantap, inklusif dan mampan bagi rantau Asean. 

“Kita juga telah berbincang mengenai bagaimana sektor perniagaan dan swasta boleh bekerjasama rapat dengan kerajaan negara-negara Asean dalam mempercepat integrasi, antara lainnya, dalam sektor digitalisasi, ekonomi digital, kelestarian, sekuriti makanan dan daya tahan rantaian bekalan,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan yang menggariskan kesemua keutamaan ini adalah keterangkuman, pemerkasaan PKS dan manfaat jelas bagi populasi Asean yang kini sudah mencecah 663 juta.

“Memandangkan banyak projek keutamaan ini ditangguhkan semasa pandemik, Miti berharap dapat bekerjasama dengan Asean-BAC Malaysia untuk mempercepat pelaksanaannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan