BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 DUNIA

Sri Lanka terima bayaran pertama US$330 juta daripada dana IMF

22/03/2023 07:44 PM

ISTANBUL (Bernama-Anadolu) -- Sri Lanka bakal menerima bayaran pertama sebanyak US$330 juta daripada keseluruhan US$3 bilion dana  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi membantu negara Asia Selatan itu menangani masalah kewangan.

Dalam kenyataan pada lewat Selasa, IMF memaklumkan bahawa pengaturan 48 bulan di bawah Kemudahan Dana Lanjutan (EFF) itu dijangka memangkinkan kewangan luar baharu termasuk daripada Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia.

Pada Isnin, IMF meluluskan permohonan dana bernilai US$2.9 bilion untuk Sri Lanka yang gagal membayar hutang asingnya pada April lalu. Negara itu kini menghadapi krisis kewangan terburuk dalam tempoh beberapa dekad akibat salah urus ekonomi dan kesan pandemik COVID-19.

Ia merupakan dana ke-17 IMF untuk Sri Lanka dan yang ketiga sejak perang saudara selama beberapa dekad yang berakhir pada 2009.

Menurut pejabat presiden Sri Lanka, program itu akan membolehkan negara berkenaan mengakses pembiayaan sehingga US$7 bilion daripada institusi kewangan antarabangsa yang berbeza.

"Sri Lanka berhadapan krisis ekonomi yang teruk akibat kesilapan dasar pada masa lalu serta kejutan ekonomi. Kami bimbang tentang kesan krisis terhadap rakyat Sri Lanka, terutama golongan miskin dan mudah terjejas," menurut IMF.

Inflasi di negara yang dilanda hutang itu meningkat kepada 53.6 peratus pada Februari, meningkat daripada 53.2 peratus pada Januari, menurut jabatan statistik pada Selasa.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan