KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Universiti Teknologi Petronas (UTP) mengekalkan kedudukan kukuhnya dalam Ranking Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS) mengikut Mata Pelajaran 2023 yang berprestij, meletakkan institusi itu antara universiti terbaik di dunia.
UTP dalam kenyataan hari ini berkata keputusan itu mempamerkan kekuatan universiti dalam tiga bidang mata pelajaran yang luas iaitu kejuruteraan dan teknologi, sains semula jadi serta seni dan kemanusiaan, manakala dari segi ranking mata pelajaran, ia telah mempamerkan peningkatan yang ketara dan meningkat dalam lapan mata pelajaran.
Menurut kenyataan itu, lima daripada tujuh mata pelajaran Kejuruteraan dan Teknologi telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan dalam edisi terbaharu ranking, dengan Kejuruteraan Petroleum menduduki tempat ke-16 meningkat enam anak tangga daripada kedudukan ke-22 sebelum ini, manakala Kejuruteraan Mineral dan Perlombongan berada di kedudukan ke-49 dalam terbaik dunia.
"Dengan penarafan ini, UTP mengekalkan kedudukannya sebagai universiti nombor satu negara selama empat tahun berturut-turut bagi kedua-dua mata pelajaran," menurut kenyataan itu.
Selain itu, menurutnya penarafan itu juga meletakkan Kejuruteraan Kimia pada kedudukan ke-99 dunia, memasuki kelompok 100 terbaik buat kali pertama.
Keputusan bagi kedua-dua Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Kejuruteraan Mekanikal juga telah meningkat dengan ketara susulan kenaikan ke satu band (kelompok) baharu, dengan yang pertama diletakkan pada band 151-200 daripada kedudukan di band sebelumnya 201-250, dan yang terakhir meningkat daripada 251-300 kepada 201-250.
Sementara itu, Kejuruteraan Awam serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat mengekalkan kedudukan mereka dalam ranking, masing-masing berada dalam kelompok terbaik 200 dan terbaik 450.
Bagi bidang mata pelajaran luas Kejuruteraan dan Teknologi, UTP kini berada di kedudukan ke-200 di peringkat global dan merupakan universiti di ranking keempat terbaik dalam negara. Ia juga telah mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti swasta nombor satu di ASEAN bagi bidang mata pelajaran luas Kejuruteraan dan Teknologi.
Subjek bukan Kejuruteraan dan Teknologi turut mencatatkan peningkatan yang ketara dalam kedudukan. Sains Bahan kini disenaraikan dalam terbaik 350 (naik satu band daripada 351-400), Kimia di terbaik 400 (naik dua band daripada 451-500) dan Pengajian Perniagaan dan Pengurusan dalam terbaik 500 (naik satu band daripada 501-550).
Sementara itu, Naib Canselor UTP Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dipetik sebagai berkata, penarafan itu menunjukkan kedalaman dan keluasan program berkualiti tinggi universiti, dan bukti tahap kecemerlangan akademik serta penyelidikan tinggi yang dipamerkan oleh fakulti, pelajar dan kakitangannya.
"Kejayaan ini menyerlahkan strategi komprehensif kami untuk menjadi universiti yang mampan, dinamik, dan digital, yang memberikan impak global dalam kejuruteraan, sains, teknologi, kemanusiaan dan inovasi," katanya menerusi kenyataan itu.
Mohamed Ibrahim berkata UTP akan terus menerajui usaha meraih kecemerlangan dalam bidang akademik, penyelidikan dan pengalaman pelajar dengan menyediakan persekitaran pembelajaran serta pengajaran bertaraf dunia untuk mendidik generasi pemimpin bertanggungjawab dan model warga global yang akan datang.
"Dalam penyelidikan dan inovasi pula, kami akan menyokong inisiatif peralihan tenaga Petronas untuk bergerak ke arah Pelepasan Karbon Sifar Bersih sebagai salah satu bidang utama kami dalam usaha kami ke arah keunggulan global yang mampan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial