AM

NAJIB DIBERI PELEPASAN DAPATKAN RAWATAN DI HKL

22/03/2023 03:22 PM

PUTRAJAYA, 22 Mac (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini mengesahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berkaitan kesihatannya.

Beliau berkata Najib telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Penjara dan diberi pelepasan selama beberapa hari bagi tujuan itu.

“Ini adalah permohonan biasa, saya telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Penjara bahawa beliau (Najib) dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Semalam beberapa media melaporkan Najib menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk beberapa hari selepas dipercayai mengalami jangkitan pada paru-paru.

Najib mula menjalani hukuman penjara bermula Ogos tahun lepas selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Saifuddin Nasution ketika diminta mengulas perkembangan kesihatan Najib menegaskan bahawa semua tahanan mempunyai hak untuk mendapatkan rawatan, yang akan diuruskan oleh Jabatan Penjara. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan