EKONOMI

MALAYSIA BERPOTENSI JADI PENERAJU HAB DIGITAL DI RANTAU ASIA TENGGARA

21/03/2023 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Malaysia berpotensi untuk menjadi peneraju hab digital pilihan di rantau Asia Tenggara bagi syarikat luar yang berasaskan teknologi pada masa akan datang.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata Malaysia sebelum ini telah pun menjadi destinasi pilihan kepada penyedia pemprosesan data kerana memiliki infrastruktur komunikasi dan keselamatan siber yang kukuh selain rakyat yang celik digital.

“...dan apabila saya dapat tahu syarikat teknologi konsumer yang berpangkalan di Shezhen, China, FreeYond memilih Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara untuk memasarkan produknya itu, ia sebagai petanda positif kepada Malaysia.

“Ia bukan sahaja memberi kesan dari segi pelaburan, tapi ini akan menjadikan Malaysia sebagai satu hab untuk banyak lagi produk yang lain berasaskan teknologi untuk datang ke Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini selepas majlis pelancaran rasmi telefon dan jam pintar keluaran FreeYond.

Dalam majlis yang diadakan FreeYond, melancarkan dua telefon pintar baharu - M5 dan F9, dua jam tangan pintar - Watch S1 dan F1 dan satu set kepala True Wireless Stereo (TWS) - Pods 1.

Sementara itu Fahmi berkata hubungan ekonomi antara Malaysia-China khususnya mendatangkan impak positif apabila lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan terutama berkaitan bidang inovasi, teknologi dan kemahiran.

Beliau turut memaklumkan hubungan dua negara itu dijangka dapat diperkukuh lagi melalui lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara tersebut dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa masalah capaian Internet dalam Malaysia akan dapat diselesaikan menjelang Jun ini dan kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi sedang berusaha untuk mengatasi perkara itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan