AM

BAYAR TOL GUNA KAD DEBIT, KREDIT SEPTEMBER INI - NANTA

21/03/2023 07:59 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Beberapa lebuh raya akan melaksanakan sistem pembayaran terbuka selewat-lewatnya September ini bagi membolehkan pengguna membayar tol menggunakan kad debit dan kredit.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Baru Pantai, Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, Lebuhraya Koridor Guthrie serta Jambatan Pulau Pinang.

“Pelaksanaan sistem pembayaran terbuka ini ialah antara inisiatif awal sebagai peralihan ke arah sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) yang sedang giat diusahakan,” katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

Nanta berkata pembuktian konsep (POC) MLFF akan dijalankan sebelum akhir Oktober ini dan lokasi terlibat sedang dalam rundingan, sebelum dimuktamadkan dalam masa terdekat bagi menilai sistem MLFF sebelum ia dilaksanakan bagi kesemua lebuh raya.

Beliau berkata pelaksanaan sepenuhnya MLFF akan dilaksanakan secara berfasa selewat-lewatnya pada suku ketiga 2024.

Nanta menjelaskan melalui pelaksanaan MLFF, sistem pembayaran terbuka akan dilaksanakan bagi kutipan tol untuk semua lebuh raya di Malaysia, dan membuka peluang kepada lebih ramai pihak pemberi kemudahan e-dompet turut serta, seterusnya tiada lagi monopoli oleh Touch N Go.

“Persaingan sihat akan wujud di antara pemain industri, yang akan membuka lebih banyak pilihan kepada pengguna lebuh raya untuk membuat pembayaran tol, sekali gus memberikan kemudahan kepada mereka.

“Saya berharap usaha ini akan mendapat kerjasama semua pihak dan memberi manfaat yang menyeluruh kepada semua, terutama rakyat dan pengguna lebuh raya di negara ini,” katanya.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan seorang peserta dalam program dialog anak muda ‘Temu Anwar’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur memaklumkan, kerajaan akan mempertimbang semula monopoli Touch N Go dalam pengangkutan dan jalan raya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan