EKONOMI

JOHOR TERIMA JUMLAH PELABURAN RM70.6 BILION TAHUN LEPAS

21/03/2023 04:19 PM

ISKANDAR PUTERI, 21 Mac (Bernama) -- Jumlah pelaburan diterima Johor pada 2022 adalah RM70.6 bilion, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu pada Selasa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Lee Ting Han berkata daripada angka tersebut RM58.78 bilion atau 83.26 peratus adalah daripada pelaburan asing, manakala RM11.81 bilion atau 16.74 peratus daripada domestik.

“Jumlah tersebut menunjukkan Johor telah menerima peningkatan drastik dan jumlah pelaburan yang tertinggi untuk tempoh sedekad yang lalu.

“Sepanjang tahun lepas juga negeri ini menerima 570 projek pelaburan dengan 16,762 peluang pekerjaan ditawarkan,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Benut) pada persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di sini.

Hasni ingin mengetahui jumlah dan jenis pelaburan yang telah diterima Johor setakat ini dengan pecahan mengikut sektor.

Menurut Lee (BN-Paloh) sektor pelaburan telah dibahagikan kepada tiga kategori iaitu primer, pembuatan dan perkhidmantan. 

"Nilai pelaburan bagi sektor primer tahun lepas adalah RM38.91 juta atau 0.06 peratus, manakala sektor pembuatan menerima RM14.58 bilion atau 20.65 peratus dan sektor perkhidmatan pula berjaya menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu RM55.98 bilion atau 79.29 peratus.

“Tiga sektor tersebut juga dibahagikan kepada pelbagai subsektor. Sektor primer dibahagikan kepada dua subsektor iaitu pertanian menerima RM33 juta nilai pelaburan diikuti perladangan dan komoditi menerima RM5.89 juta,” katanya. 

Beliau berkata sektor pembuatan telah dibahagikan kepada 18 subsektor, dengan lima subsektor telah menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu bahan kimia dan produk kimia dengan nilai RM5.2 bilion, peralatan saintifik dan pengukuran (RM3.65 bilion), elektrik dan elektronik (RM1.96 bilion), produk mineral bukan logam (RM736 juta), manakala tekstil (RM432 juta).

Sektor perkhidmatan pula dibahagikan kepada 10 subsektor, dengan lima subsektor menerima nilai pelaburan tertinggi iaitu maklumat dan komunikasi (RM51 bilion), utiliti (RM2.8 bilion), hartanah (RM1.1 bilion), perdagangan pengedaran (RM521 juta) dan perkhidmatan sokongan (RM317 juta).

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan