AM

RAMADAN: KEPERLUAN TELUR AYAM DI MELAKA DIJANGKA MENINGKAT

21/03/2023 04:01 PM

MELAKA, 21 Mac (Bernama) -- Keperluan telur ayam untuk kegunaan isi rumah dan peniaga di Melaka sepanjang Ramadan ini dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus daripada 300,000 biji atau 10,000 papan telur seminggu ketika ini.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka Hairudin Yunos berkata ia ekoran peningkatan aktiviti perniagaan seperti makanan, kuih-muih, murtabak dan biskut raya sempena Ramadan dan Aidilfitri, khususnya dalam kalangan usahawan kecil dan sederhana.

Bagaimanapun, beliau berkata bekalan telur ayam bagi menampung keperluan di Melaka itu, dijamin mencukupi susulan pelaksanaan program intervensi bahan asas itu sejak Disember lepas hingga Jun ini.

"Menerusi program intervensi telur ayam, FAMA Melaka membekalkan kira-kira lapan juta biji telur ayam dalam tempoh Disember lepas hingga hari ini ke pusat operasi FAMA di seluruh Semenanjung.

"Setakat ini tiada telur import dibawa masuk ke negeri ini dan bekalan dilihat stabil. Melaka mempunyai beberapa pengeluar telur terbesar serta ladang satelit untuk menampung keperluan semasa di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jualan Pra-Ramadan Melaka MADANI 2023 di sini hari ini.

Majlis anjuran Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dengan kerjasama FAMA negeri itu dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam, yang juga merupakan Presiden DMDI.

Hairudin berkata FAMA negeri juga mewujudkan Egg Action Team@Melaka (EAT@MELAKA) bagi memantau dari segi bekalan dan harga jualan semasa telur ayam dalam usaha mengekang kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata pihaknya mengadakan libat urus bersama kira-kira 30 usahawan kecil dan sederhana kuih-muih serta biskut raya di negeri itu bagi memastikan kumpulan itu memperoleh bekalan telur ayam yang diperlukan untuk pengoperasian perniagaan mereka.

"Libat urus ini kita mulakan kira-kira tiga minggu lepas dan menerusi sesi itu setiap peniaga mempunyai keperluan telur ayam yang berbeza dari segi gred serta jumlah bekalan.

"Sebagai contoh, untuk peniaga kuih bahulu mereka memerlukan telur ayam gred AA dan kita akan membantu mereka untuk mendapatkan bekalan yang diperlukan," katanya.

-- BERNAMA

    
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan