MOSCOW, 21 Mac (Bernama) -- Sempena lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Rusia, stesen televisyen utama di negara ini menyiarkan program "Classics Quotes by Xi Jinping" musim kedua versi bahasa Rusia.
Turut hadir dalam majlis pelancaran program itu Presiden Kumpulan Media China (CMG), Shen Haixiong dan Presiden Perbadanan Televisyen dan Penyiaran Negara Seluruh Rusia, Dobrodeev.
Kedua-dua pihak menyatakan akan memainkan peranan media arus perdana, menyahut Inisiatif Peradaban Global (GCI), merapatkan komunikasi antara rakyat kedua-dua negara dan menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Difahamkan, program itu memilih petikan ucapan, artikel dan kenyataan penting Presiden Xi Jinping yang memfokuskan kepada tema melibatkan “bekerja bersungguh-sungguh”, “taat setia”, "jujur", "berkongsi" dan "hijau".
Kesemua konsep itu menunjukkan pemikiran Xi yang berorientasikan rakyat, keluarga, negara dan dunia, selain memperhalusi serta mentafsir konotasi era baharu dan nilai global yang terkandung dalam budaya tradisional China yang mendalam.
Menurut Presiden CMG, Shen Haixiong, tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 penganjuran konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan dan ulang tahun ke-10 pembinaan bersama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang merupakan cetusan idea Xi.
Justeru katanya, pelancaran program tersebut di Rusia diyakini dapat membawa makna yang amat besar.
“Program ini bukan sahaja dapat membantu rakyat Rusia memahami gaya kepimpinan dan falsafah tadbir urus Presiden Xi Jinping bagi sebuah negara utama, tetapi juga membantu orang ramai memahami daya tarikan budaya tradisional China dan kunci utama kejayaan tercapai China serta asal kerohanian modenisasi ala China,” kata Shen.
Tambah beliau, Presiden Xi berpendirian bahawa peradaban menjadi berwarna-warni kerana terdapatnya pertukaran, manakala peradaban diperkaya susulan adanya pembelajaran antara satu sama lain.
“Interaksi budaya antara peradaban adalah penggerak penting terhadap kemajuan peradaban manusia dan pembangunan dunia yang aman.
“CMG bersedia bekerjasama dengan Perbadanan Penyiaran Televisyen Negara Seluruh Rusia dan media Rusia yang lain untuk melaksanakan sepenuhnya konsensus penting yang dicapai pemimpin negara China-Rusia, memperkukuh pertukaran dan interaksi media untuk memberi sumbangan kepada pembinaan Inisiatif Peradaban Global (GCI) dan komuniti berkongsi nasib sesama insan,” katanya.
Untuk rekod, selain bahasa Rusia, ‘Classics Quotes by Xi Jinping’ turut diterbitkan dalam bahasa Inggeris, Jepun, Korea, Sepanyol dan lain-lain yang telah ditonton oleh lebih 4.79 bilion penonton di luar China.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial