AM

AMALKAN LANGKAH KESIHATAN AWAM SEPANJANG RAMADAN - KP KESIHATAN

21/03/2023 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Orang ramai digalakkan terus mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga dan masyarakat sepanjang menjalani ibadah puasa tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ketika menghadiri aktiviti-aktiviti kebiasaan seperti solat tarawih di masjid, perhimpunan majlis ilmu dan majlis berbuka puasa, orang ramai   perlu terus beringat bahawa virus COVID-19 serta virus lain seperti Influenza masih ada. 

Katanya antara langkah-langkah kesihatan awam yang boleh diambil termasuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala terutama di kawasan ramai orang dan sesak; kerap mencuci tangan terutama selepas bersalaman atau membawa sanitasi tangan serta mengamalkan etika batuk dan bersin dengan betul.

“Jemaah juga digalakkan membawa sejadah sendiri dan pakaian solat bagi jemaah wanita untuk ke masjid manakala individu bergejala digalakkan mengamalkan penilaian risiko kendiri (TRIIS) dan elakkan berada di kawasan awam.

“Individu positif COVID-19 dilarang menghadiri aktiviti sosial dan segera dapatkan rawatan jika gejala bertambah teruk,” katanya dalam kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia di sini, hari ini. 

Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai supaya mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang sepanjang berpuasa bagi memastikan kesihatan optimum selain meningkatkan sistem pertahanan badan melawan penyakit terutama COVID-19.

Katanya pengambilan kalori secara berlebihan dan tidak aktif boleh meningkatkan risiko obesiti dan penyakit tidak berjangkit seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan penyakit jantung.

Mengenai status terkini COVID-19, Dr Noor Hisham berkata kes baharu bagi tempoh 12 hingga 18 Mac lepas meningkat 18 peratus iaitu 1,848 berbanding 1,566 pada minggu sebelumnya sekali gus menjadikan kumulatif kes baharu sejak 25 Jan 2020 berjumlah 5,047,040. 

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes sembuh pula menurun 13.7 peratus iaitu daripada 1,423 kes kepada 1,228 kes manakala bilangan kes kematian meningkat 150 peratus iaitu daripada dua kes kepada lima kes.

Katanya ia menjadikan kumulatif kes sembuh sebanyak 5,000,457 manakala kes kematian kini 36,972.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan