AM

Desa Land jadi lokasi tarikan utama pelancong di Labuan

21/03/2023 02:35 PM

LABUAN, 21 Mac (Bernama) -- Destinasi ekopelancongan Desa Land di sini yang menawarkan aktiviti berasaskan alam semula jadi muncul sebagai tarikan utama pelancong dengan merekodkan lebih 100,000 pengunjung sejak beroperasi pada 2021.

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan Labuan (Tourism Malaysia) Nor Hidayah Mohd Noor berkata perkembangan positif itu memberi petanda baik kepada sektor pelancongan di pulau bebas cukai ini.

“Tarikan ekopelancongan Labuan ini dianggap sebagai tarikan orang ramai ke pulau ini, dan kami berkongsi pencapaian ini.

“Pusat Penerangan Pelancongan Labuan mempromosikan pelbagai lokasi tarikan pelancongan di sini termasuk Desa Land dalam pelbagai platform, dan kami mengiktiraf keazamaan dan kerja keras pengusaha Desa Land menjadikan kawasan itu sebagai tarikan utama pelancongan Labuan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan (PL) Rithuan Ismail berkata pencapaian Desa Land itu bukti kepada perkembangan industri pelancongan di pulau ini.

“Desa Land yang menjadi lokasi ekopelancongan Labuan ialah model terbaik untuk memulihkan ekonomi berasaskan pelancongan, bilangan pelancong yang direkodkan sejak 2021 amat mengagumkan.

“Perbadanan Labuan akan terus membantu dan memudahkan pengusaha pelancongan di pulau ini untuk menginovasi produk pelancongan sekali gus membantu mencapai matlamat menjadikan Labuan satu destinasi pelancongan popular,” katanya.

Sementara itu, Pengasas Desa Land Datuk Seri Mohd Alias Abd Rahman berkata bilangan pengunjung ke kawasan berkenaan meningkat selepas pandemik COVID-19.

“Bilangan pengunjung yang datang ke sini untuk menikmati penerokaan taman replika, dinosaur dan kereta api sahaja sejak enam bulan lepas (Sept 2022-Feb 2023) merekodkan lebih 25,000 orang.

“Kami berterima kasih kepada sokongan berterusan daripada pihak berkuasa tempatan PL dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta orang ramai yang menjadikan Desa Land destinasi wajib dikunjungi,” katanya.

Desa Land yang dibangunkan di atas tanah seluas dua hektar di Jalan Sg Pagar Kampung Sg Miri menawarkan pelbagai aktiviti penerokaan berasaskan alam semula jadi menerusi jelajah menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), mendayung bot di tasik dan berkhemah.

Desa Land juga mempunyai 35 unit penginapan - rumah pokok, kabin pain, chalet dan dome - selain menyediakan kolam untuk orang dewasa dan kanak-kanak.

“Kami sedang menambah aktiviti Desa Land untuk menyesuaikannya dengan trend semasa dan akan datang seperti canopy walk, ghost tunnel dan mendaki tembok (untuk dewasa dan kanak-kanak), kami juga merancang aktiviti eksplorasi malam bagi pengunjung menikmati kawasan semula jadi di sini,” katanya.

Selain itu, Desa Land turut menyediakan kedai makan dan kedai runcit di sekitar kawasan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan