KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) -- Pasaran buruh yang stabil yang menyokong penggunaan domestik adalah di antara faktor utama yang merangsang sektor pengguna untuk maju ke hadapan.
Dalam nota kajiannya hari ini, MIDF Research berkata sektor itu juga akan disokong oleh ketibaan pelancong yang tinggi yang menyokong jualan runcit dan penggunaan luar rumah serta margin yang lebih baik untuk pengeluar makanan dan minuman (F&B) dibantu oleh harga komoditi yang lebih rendah dan ringgit yang mengukuh.
"Oleh itu, kami mengekalkan pendirian "positif" kami terhadap sektor pengguna. Kami memilih syarikat berkaitan ruji pengguna sebagai pilihan utama kami untuk sektor ini disebabkan permintaan yang berdaya tahan untuk barangan penting walaupun menghadapi pelbagai masalah.
“Kami pilih QL Resources, disokong oleh permintaan yang stabil untuk produk marin dan ternakan. Kami juga memilih F&N kerana syarikat itu berkemungkinan mendapat manfaat daripada peningkatan dalam permintaan untuk minuman sedia diminum, didorong oleh peningkatan pelancong,” katanya.
Sementara itu, memandangkan kadar dasar semalaman (OPR) kekal di bawah julat 3.00-3.25 peratus (paras prapandemik), bersama-sama dengan tekanan inflasi yang menyederhana dan pasaran buruh yang stabil, MIDF Research yakin dengan perbelanjaan pengguna domestik dalam jangka pendek.
“Selain itu, dengan pelbagai bantuan tunai, insentif dan pengurangan cukai pendapatan yang ditawarkan dalam Belanjawan 2023 untuk kumpulan berpendapatan B40 dan M40 bagi meningkatkan pendapatan isi rumah dan merangsang perbelanjaan domestik, kami menjangkakan jualan runcit kekal kukuh pada 2023.
“Ketibaan pelancong yang lebih tinggi dengan pembukaan semula sempadan di kebanyakan negara, terutamanya dari China, ia akan meningkatkan lagi jualan runcit Malaysia,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial