AM

PROJEK TEBATAN BANJIR DISEGERAKAN UNTUK KURANGKAN IMPAK BENCANA - ANWAR

21/03/2023 11:11 AM

PUTRAJAYA, 21 Mac (Bernama) -- Projek-projek tebatan banjir akan disegerakan untuk mengurangkan impak bencana itu di negara ini pada masa depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican telah diarahkan untuk menyegerakan projek-projek tebatan banjir itu.

“Saya telah minta Perbendaharaan untuk segerakan proses tender segera untuk mengurangkan tekanan bagi tahun-tahun akan datang," katanya ketika berucap melancarkan Pasukan Sukarelawan Perkhidmatan Awam (PSPA) Pasca Banjir ke Johor di sini hari ini.

Seramai 1,520 penjawat awam yang mewakili pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan menyertai misi pascabanjir selama dua hari itu, yang dikhususkan ke kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sempena majlis pelepasan pasukan itu, misi berkenaan lebih tertumpu dan bersasar kepada aspek pembersihan fasiliti perubatan, fasiliti pendidikan, bangunan kerajaan serta tempat awam.

Pada 17 Mac lepas, Anwar mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pascabanjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

Anwar pada majlis hari ini merakamkan penghargaan kepada semua penjawat awam yang menyertai misi pascabanjir di Johor itu serta menyifatkannya sebagai tindakan luar biasa.

“Kehadiran saudara saudari, percayalah dapat mengurangkan (beban) rakyat yang tertekan. Saya berdoa kita semua dapat jalankan tugas dengan ikhlas dan diberkati,” katanya.

Anwar berkata mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) juga telah diminta untuk membantu misi pascabanjir di Johor.

“Pascabanjir ini mencabar, kita tahu jabatan dan keluarga di Johor tidak mampu kendalikan kecuali ada usaha tambahan,” katanya.

Jumlah mangsa banjir di Batu Pahat menunjukkan penurunan dengan 6,740 orang masih ditempatkan di 43 pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding 7,972 orang di 44 PPS yang direkodkan pada 8 malam tadi.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

 — BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan