RENCANA

EAIC KOMITED TANGANI ISU PELANGGARAN INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN

21/03/2023 08:53 AM

Oleh Nadia Jumri

PUTRAJAYA (Bernama) -- Meskipun isu pelanggaran integriti melibatkan penjawat awam menunjukkan perubahan namun usaha memerangi gejala rasuah dan salah guna kuasa umpamanya satu tanggungjawab yang tiada titik noktah.

Dalam menekankan perkara ini, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata, pemerkasaan integriti golongan itu sememangnya sentiasa menjadi keutamaan dan perhatian rakyat Malaysian ketika ini.

Beliau yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara Malaysia berkata, EAIC ditubuhkan bagi mencapai sasaran kerajaan untuk menyemai dan meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai penguatkuasa serta agensi penguatkuasaan, demi memperkukuhkan keyakinan orang ramai terhadap mereka.

“Isu kepincangan integriti tidak akan pernah tamat, lebih-lebih lagi ia disuarakan berulang kali oleh kerajaan dan media sosial.

“Ini bagus dengan syarat kita belajar daripadanya dan cuba hapuskan isu melibatkan pelanggaran integriti atau sekurang-kurangnya mengurangkan hal ini daripada betul-betul berlaku. Hal ini juga akan menggalakkan orang ramai menjadi mata dan telinga EAIC,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.


Mesyuarat koordinasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama agensi penguatkuasaan seliaan.

Beliau yang menyandang jawatan Pengerusi EAIC untuk tempoh tiga tahun sejak Julai 2020 menambah, integriti penjawat awam penting dalam memastikan kerajaan mendapat kepercayaan penuh masyarakat dan perkara itu tidak seharusnya dipandang ringan.

Penjawat awam lebih-lebih lagi agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC perlu menjauhkan diri daripada terlibat dalam sebarang isu pelanggaran integriti seperti rasuah dan salah laku kerana sekiranya tidak dibendung, boleh memudaratkan negara dan rakyat.

“Integriti bukan semata-mata isu rasuah, ia lebih daripada itu. Ia juga termasuk isu salah guna kuasa. Integriti adalah juga melakukan yang terbaik, berbuat baik kepada orang lain sebagaimana anda mahu orang berbuat baik kepada anda. Itu juga integriti.

“Tiada tolak ansur untuk rasuah, juga salah guna kuasa. Sebagai penjawat awam, perlu ada integriti. Contoh, bukan pergi ke pejabat dan curi tulang, tak rakam waktu masuk kerja dan pergi makan, itu juga isu integriti. Sebagai penjawat awam, jangan sekali-kali buat begitu. Berikan yang terbaik dalam melaksanakan tugas anda,” katanya.

 

KONSEP ‘DIBUANG KERJA JIKA BERSALAH’


Sesi libat urus Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama agensi penguatkuasaan seliaan di ICQS Padang Besar.

Menurut Mohd Sidek lagi, semua penjawat awam perlu diberi penekanan mengenai isu integriti, justeru, konsep ‘dibuang kerja jika didapati bersalah’ perlu diperkenalkan jika ada mana-mana individu yang terlibat dan didapati bersalah dalam salah laku integriti.

“Semasa saya jadi KSN dulu, saya kata ‘hanging must be done in public’ (ini adalah konsep). Maksudnya seorang pegawai ada isu integriti dan didapati bersalah, dia dibuang kerja.

“Tindakan ini juga perlu diumumkan di sesebuah tempat kerja itu. Jangan dibuat secara diamdiam. Langkah ini akan menjadikan penjawat awam lain mengambil iktibar kerana tindakan yang keras itu juga boleh dikenakan kepada mereka,” katanya yang berkhidmat sebagai penjawat awam lebih 50 tahun.

Beliau pada masa sama berpendapat jika konsep ‘hanging in front of the public’ itu dilaksanakan, kemungkinan isu integriti dalam kalangan penjawat awam berada pada paras minimum.

“Dalam perkhidmatan kerajaan ini, kita kena tegas firm tapi walaupun kita tegas firm, kita perlu bersikap adil. Kita tak boleh nak dengar sahaja dan terus buang, proses mesti adil the process must be fair, siasat semua, supaya tidak ada penganiayaan terhadap pegawai itu sendiri,” jelasnya.

Beliau menambah secara umumnya, untuk menjadi manusia yang berintegriti memerlukan seseorang itu menjadi manusia bermoral dan beretika dalam semua aspek kehidupan. Keruntuhan integriti menyebabkan berlakunya pelbagai ketidakseimbangan seperti peningkatan amalan rasuah dan pecah amanah, lebih-lebih daripada sudut tadbir urus dan pentadbiran organisasi.

Justeru, katanya, baik ketua jabatan, pekerja sama ada dalam organisasi awam mahupun swasta jika tidak memiliki integriti, mereka akan sentiasa mencuba untuk mencari peluang melakukan sesuatu demi kepentingan peribadi tanpa memikirkan implikasi terhadap imej organisasi.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memperkasa serta membudayakan amalan integriti dalam semua aspek kehidupan. Jadi sifat integriti ini perlu ada dari awal lantikan lagi. Ini yang perlu ditekankan.

“Contoh ketua jabatan yang baik juga akan mempengaruhi pekerja bawahannya. Jadi adalah baik jika semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dan bersepakat dalam membantu memulihkan semula negara daripada terpalit isu integriti ini,” katanya menambah, tiada sebarang kompromi bagi salah laku yang menyalahi undang-undang.

 

ADUAN RAKYAT


Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Menyentuh mengenai EAIC dengan moto ‘Tegas, Telus, Efisien’, Mohd Sidek berkata, badan itu diamanahkan untuk menyelia 21 agensi penguatkuasaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak 1 April 2011.

EAIC yang kini dianggotai 78 kakitangan, melaksanakan fungsi dan peranannya yang diperuntukkan mengikut Akta 700, di bawah subseksyen 4(1), antaranya menerima aduan salah laku daripada orang ramai terhadap pegawai penguatkuasa atau terhadap sesuatu agensi penguatkuasaan secara amnya dan menyiasat serta mengadakan sesi pendengaran.

Selain itu, EAIC juga melindungi kepentingan orang ramai, merumuskan dan mengadakan mekanisme bagi mengesan, menyiasat serta mencegah salah laku selain mengadakan pengauditan dan pemantauan mengenai aspek tertentu.

Sejak penubuhan EAIC pada April 2011, suruhanjaya itu menerima sebanyak 6,122 aduan terhadap pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk pada tahun 2022, sebanyak 704 aduan diterima.

“Aduan diterima menerusi pelbagai medium seperti e-Aduan, e-Mel, pengadu hadir, surat rasmi, surat layang, media masa, rujukan daripada agensi kerajaan dan lain-lain,” kata Mohd Sidek.


Tinjauan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) ketika Sekatan Jalan Raya (SJR).

Menurut beliau, aduan yang diterima pada tahun 2022 adalah sebanyak 704, berkurangan sebanyak 34 peratus berbanding pada tahun 2021.

Aduan yang paling banyak diterima dan didaftarkan adalah melalui platform e-Aduan iaitu sebanyak 401 aduan dan diikuti e-Mel sebanyak 151 aduan.

“Semua aduan yang diterima dibentangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Aduan (JKA) yang bersidang pada setiap hari bekerja untuk meneliti, menimbang dan memberikan pengesyoran tindakan sewajarnya ke atas aduan, dan seterusnya di bawa ke Mesyuarat Suruhanjaya (MS) untuk pertimbangan dan kelulusan oleh Pesuruhjaya.

“Daripada jumlah aduan yang diterima pada tahun 2022 (704 aduan), sebanyak 612 fail aduan dibuka. Sehingga 31 Disember 2022, sebanyak 535 fail aduan selesai diputuskan di Mesyuarat Suruhanjaya.

“Daripada 612 fail aduan yang dibuka, hanya 50 dibuka fail siasatan dan daripada jumlah itu, sebanyak 23 fail siasatan diselesaikan,” katanya menambah, aduan yang diterima jelas menunjukkan orang awam sedar akan kehadiran EAIC.

Beliau berkata, antara aduan tertinggi orang ramai yang didaftarkan mengikut agensi penguatkuasaan pada 2022 ialah PDRM (500), JIM (40), JPJ dan AADK masing-masing (12), dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (10).

 

CABARAN EAIC


Majlis Apresiasi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bersama Agensi Penguatkuasaan Seliaan.

Menyentuh mengenai cabaran utama EAIC, Mohd Sidek berkata, ia adalah untuk memastikan semua agensi di bawah seliaannya menghayati apa yang agensi itu dan kerajaan idamkan daripada segi pengukuhan integriti.

“Itulah cabaran kami. Secara umumnya, saya fikir kami berjaya namun ini adalah proses yang panjang. Sekali lagi saya ingin tekankan bahawa isu integriti ini adalah luas.  Ia juga bermakna memberikan yang terbaik dan ini adalah cabaran utama untuk saya dan semua agensi tanpa sebarang kompromi, ” katanya.

Beliau juga meminta semua agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya terutama yang beragama Islam untuk meneladani Rasulullah SAW dalam setiap aspek kehidupan mereka termasuklah ketika bekerja.

“Saya percaya jika kita semua, terutamanya Ketua Jabatan sendiri meneladani Rasulullah SAW, kita akan berusaha menjadi yang terbaik. Dan insya-Allah, kebaikan itu tidak akan terhenti pada diri kita. Ia akan menjadi ikutan orang bawahan kita, dan seterusnya hingga akhirnya semua penjawat awam menjadi yang terbaik, ” katanya.

Beliau menambah, hubungan dengan PDRM digerakkan melalui sesi dialog bersama pegawai kanan EAIC dan PDRM sejak beberapa tahun ini dan pendekatan sama akan diguna pakai dengan agensi penguat kuasa lain.

“Walaupun Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) akan dikuatkuasakan pada Julai depan (2023) dan PDRM tidak lagi akan menjadi agensi di bawah seliaan EAIC, namun kerjasama erat antara suruhanjaya itu dengan PDRM akan diteruskan, ” katanya.

 

Disunting dan diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan