BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 AM

Kemudahan cukai pembelian peralatan pergigian akan dibawa Fadillah untuk perhatian MoF

20/03/2023 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri  Datuk Seri Fadillah Yusof berkata beliau akan membawa kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk penelitian berkenaan kemudahan cukai yang boleh diberikan kepada pembelian peralatan pergigian oleh pengamal pergigian swasta yang mengusahakan klinik mereka di kawasan pinggir dan luar bandar  dalam usaha menyebarluaskan perkhidmatan itu.

“Insya-Allah saya akan bawa perkara ini kepada pengetahuan MoF bagi menentukan langkah bagaimana kita boleh menyokong klinik pergigian ini sebab ia memerlukan peralatan yang agak mahal.

Kalau import duti (peralatan klinik) dapat dikurangkan, sudah pasti ini membantu dari segi kos (pembelian peralatan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Mulut Sedunia 2023 dan Pelancaran Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan, di sini hari ini.

Fadillah berkata demikian sebagai mengulas permintaan Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni pada majlis itu yang berharap kerajaan dapat memberi potongan cukai pembelian peralatan pergigian kepada pengamal pergigian swasta yang mengusahakan klinik gigi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Terdahulu, Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan yang dilancarkan hari ini adalah dasar yang akan meletakkan penyampaian perkhidmatan kesihatan pergigian di landasan yang lebih baik dengan menyatukan semua pihak berkepentingan melalui penyelarasan strategi.

Dasar itu yang julung kali diwujudkan, merangkumi tiga prinsip utama iaitu menekankan usaha mempromosi liputan perlindungan kesihatan sejagat, mengintegrasikan kesihatan pergigian dengan kesihatan umum serta meningkatkan keselamatan dan kualiti kesihatan pergigian.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan