KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta membentangkan data terkini membabitkan masalah kesihatan dan sosial belia dalam negara pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) akan datang.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata ia bagi memastikan kementerian lain dapat membuat intervensi yang bertepatan dengan data terkini.
“Jadi dalam mesyuarat akan datang semua ini akan dibincangkan bersama dengan 29 kementerian mengenai program yang membabitkan belia di kementerian masing-masing,” katanya pada persidangan media di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Sidang media itu diadakan sejurus selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia Bil. 1/2023 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Hannah berkata semua kementerian akan diminta menyenaraikan program-program berkaitan belia untuk diselaraskan dengan inisiatif yang dijalankan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi memastikan tiada program bertindih terutamanya melibatkan keusahawanan belia.
“Banyak kementerian mengadakan program keusahawanan belia (contohnya), dan bila banyak sangat bajet (dikeluarkan) dibazirkan… mungkin dalam program itu ada orang yang sama terlibat, sebab itu kita perlu perkemaskan pengumpulan semua data,” katanya.
Beliau seterusnya menyasarkan mesyuarat itu diadakan dua atau tiga kali setahun, selepas kali terakhir diadakan pada 2018.
Sementara itu KBS dalam kenyataannya memaklumkan mesyuarat JKPB berperanan untuk menyelaras dan memperkemas sistem penyampaian inisiatif dan program pembangunan belia serta merancang pembangunan anak muda agar lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.
Menurut kenyataan itu, terma rujukan JKPB antaranya bertindak sebagai badan perunding, penyelaras dan penasihat kepada kerajaan untuk pembangunan belia MADANI.
Jawatankuasa itu juga membincangkan isu semasa pembangunan belia negara dan memperakukan langkah tindakan tertentu daripada aspek dasar, perancangan serta pelaksanaan agenda pembangunan belia bagi meningkatkan kesejahteraan kualiti hidup generasi belia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial