BERITA TERGEMPAR   Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | 
 DUNIA

Produk pintar China jadi tumpuan CONEXPO-CON/AGG

20/03/2023 06:45 PM

BEIJING, 20 Mac (Bernama) -- Pameran Jentera dan Peralatan Amerika Syarikat (AS) atau lebih dikenali sebagai CONEXPO-CON/AGG melabuhkan tirainya di Las Vegas pada Sabtu.

Berlangsung selama lima hari, CONEXPO-CON/AGG yang juga satu daripada tiga pameran jentera dan peralatan terbesar di dunia dan ekspo perdagangan paling besar di Amerika Utara itu, disertai lebih 2,500 syarikat dan pertubuhan dari puluhan negara dan kawasan.

Pameran itu menyaksikan syarikat peneraju industri pembuatan jentera dan peralatan di dunia mempamerkan produk terbaharu serta sains dan teknologi canggih masing-masing.

China turut mengetengahkan produk pintar yang menyaksikan lebih 150 syarikat mengambil bahagian dalam pameran CONEXPO-CON/AGG edisi kali ini.

Antara produk yang dipamerkan termasuk peralatan dan jentera yang menggunakan konsep inovatif seperti operasi pendigitalan, kawalan operasi di tapak pintar dan operasi kawalan jauh yang berdasarkan teknologi seperti Internet kebendaan (IoT) berkelajuan tinggi, bantuan dron dan pengimbasan seluruh sudut.

Produk yang dipamerkan itu telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung. Selain berkemampuan menghasilkan peralatan dan jentera yang lengkap, syarikat China juga mempunyai kelebihan dalam pembuatan komponen teras.

Pada CONEXPO-CON/AGG kali ini, terdapat zon pameran China dibina di ruang pameran komponen teras yang turut mendapat sambutan yang baik daripada syarikat asing.

Syarikat China turut mempamerkan jentera dan peralatan yang berkualiti tinggi yang telah berjaya dihasilkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan