POLITIK

UMNO, BN janji terus dukung Kerajaan Perpaduan - Ahmad Zahid

19/03/2023 11:51 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan pimpinan baharu UMNO bersama Barisan Nasional (BN) akan terus mendukung dan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.

Presiden UMNO itu berkata berdasarkan keputusan Pemilihan UMNO 2023 yang berakhir semalam, ia jelas menunjukkan bahawa setiap peringkat kepimpinan nasional serta akar umbi parti itu memberi dukungan sepenuhnya kepada keutuhan Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Manifestasi ini cukup jelas kerana kita lihat walaupun ada usaha untuk menggugat kerajaan yang ada sekarang namun ia jelas ditolak oleh perwakilan (UMNO),” kata beliau yang juga Pengerusi BN  selepas menghadiri Mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan di sini malam ini.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu dipengerusikan oleh Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan turut dihadiri beberapa pimpinan tertinggi parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Selain sokongan UMNO dan parti komponen BN, Ahmad Zahid yakin setiap parti termasuk dari Sabah dan Sarawak di bawah Kerajaan Perpaduan juga akan terus mendukung kerajaan ini.

“Maka kombinasi 20 parti yang ada dalam Kerajaan Perpaduan akan diperkuatkan lagi dengan pimpinan baharu UMNO dan seterusnya insya-Allah akan memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Johari Abdul Ghani diumumkan memenangi jawatan Naib Presiden UMNO bagi sesi 2023-2026. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan