BACHOK, 19 Mac (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan kenaikan Bayaran Insentif Menyelam (BIM) sebanyak RM200 kepada Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berkuat kuasa serta merta, kata Menterinya Nga Kor Ming.
Beliau berkata sebelum ini sebanyak RM100 bayaran insentif menyelam diberikan bagi memperkasa pasukan penyelam yang berperanan penting dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas.
"Tahun lalu seramai 255 mangsa meninggal dunia akibat lemas direkodkan yang mana terdapat 628 PPDA ditempatkan di 46 balai bomba seluruh negara setakat ini.
Kementerian menerusi Majlis Keselamatan Aktiviti Di Air (MKAA) sedang berusaha untuk kurangkan kes kemalangan terutamanya kematian di kawasan rekreasi air seperti kawasan air terjun, pantai, cerun bukit, sungai dan bukit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran MKAA di Pantai Senok, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib.
Mengulas lanjut, Nga berkata JBPM Kelantan menerima peruntukan RM2 juta bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf enam balai di negeri itu termasuk Balai Bomba di Kota Bharu, Machang, Rantau Panjang dan Kuala Krai.
"Peruntukan ini bagi memastikan wira merah sentiasa bersiap siaga melaksanakan aktiviti penyelamatan sama ada di air atau kebakaran.
Hal ini kerana, bomba juga antara agensi yang mendapat perhatian dalam belanjawan 2023 termasuk 100 unit Set Swift Water Rescue untuk kegunaan latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia," katanya.
Terdahulu, Nga menyaksikan gimik lakonan JBPM negeri mengenai operasi menyelamat mangsa lemas di laut membabitkan aset JBPM seperti helikopter model AW 109 dan bot Amphibious Rapid Intervention Boat (ARIP) dan Bot Kevlar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan RM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial
© 2023 BERNAMA • Penafian • Dasar Privasi • Dasar Keselamatan