AM

Kerajaan negeri peruntuk RM1.85 juta bantu pelajar Sabah di Timur Tengah - Hajiji

19/03/2023 07:21 PM

KOTA KINABALU, 19 Mac (Bernama) -- Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1.85 juta bagi membantu meringankan beban lebih 200 pelajar dari Sabah yang kini menuntut di Mesir, Arab Saudi dan Jordan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan perkara itu pada perhimpunan bersama pelajar Sabah yang kini menuntut di universiti ketiga-tiga negara anjuran Yayasan Sabah di Kaherah, Mesir semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri memahami kos sara hidup tinggi yang terpaksa dihadapi oleh pelajar terbabit serta memaklumkan bahawa Yayasan Kebajikan Sabah dan Yayasan Sabah akan menyelaras bantuan itu.

“Saya mahu anda semua (pelajar dari Sabah) kekal fokus pada pelajaran dan mengambil peluang ini untuk mempelajari a-Quran serta hadis secara mendalam. Memiliki pemahaman yang lebih mendalam akan mempertingkat nilai intelek anda yang akan menjadi aset apabila anda kembali untuk berkhidmat kepada negara,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan RM10,000 untuk membeli buku bagi Perpustakaaan Yayasan Sabah di sini daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan set Hadrah (sejenis instrumen muzik) bernilai RM4,000 daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut menyumbang set komputer kepada Persatuan Pelajar Mesir.

Ketua Menteri Sabah itu turut minum pagi bersama pelajar terbabit sebelum berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah bersama isterinya, Datin Seri Juliah Salag.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan