AM

PINDAAN DUA AKTA BERKAITAN KOMUNIKASI BOLEHKAN ISU 3R DITANGANI - FAHMI

19/03/2023 05:26 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) akan membolehkan isu seperti perkauman, agama dan Institusi Diraja (3R)  ditangani. 

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata ia memandangkan banyak perkara dalam akta-akta yang diperkenalkan sejak 1998 itu perlu dikemas kini dengan mengambil kira perkembangan teknologi semasa yang telah jauh berubah.

“Pindaan itu nanti juga akan turut melibatkan sesi libat urus bersama Ahli-ahli Parlimen dan kementerian akan menelitinya sebelum ia  dijangka dibawa ke Parlimen pada penggal ini atau selewat-lewatnya tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu program forum bertajuk “Youth Empowerment Through Digital Platforms” bersempena Youth Empowerment Fair 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini. 

Dalam forum itu, Fahmi turut berkongsi bahawa Raja-Raja Melayu  ada menzahirkan pandangan dan nasihat berhubung kerisauan serta kegelisahan tentang isu ekstremisme. 

Ini susulan beberapa insiden melibatkan elemen 3R yang berlaku semenjak kebelakangan ini yang dikhuatiri boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian di dalam negara.

“Disebabkan itu hampir semua majlis agama (negeri) arahkan tidak berpolitik dalam masjid dan surau…dan saya sudah beritahu MCMC dan mereka telah mengeluarkan kenyataan hari ini mengenai isu 3R sebagai peringatan kepada setiap orang,  jaga keselamatan, jaga tertib, jaga adab, jangan langgar,” katanya.

MCMC dalam kenyataan hari ini sekali lagi mengingatkan orang ramai, agar tidak memuat naik atau berkongsi sebarang kandungan atau pandangan yang berbaur kebencian membabitkan elemen 3R di media sosial dan aplikasi pemesejan.

Dalam perkembangan lain Fahmi berkata pihaknya telah berhubung dengan beberapa penyedia perkhidmatan Internet satelit untuk membantu komuniti luar bandar yang berada di kampung, desa dan pedalaman bagi mendapatkan akses Internet yang lebih murah.

“Sebagai contoh ada yang terpaksa membelanjakan RM10 untuk satu gigabait (GB) data internet dan ini satu jumlah yang agak tinggi, jadi kita perlu tangani untuk memastikan akses Internet itu bukan hanya tersedia tapi juga tidak terlalu mahal untuk digunakan,” katanya. 

Fahmi berkata ketika ini 97 peratus kawasan berpenduduk di seluruh negara telah mempunyai akses kepada Internet dan telekomunikasi dan selebihnya masih belum mendapat kemudahan berkenaan seperti di pedalaman Sabah, Sarawak, selain di kawasan pos Orang Asli dan pulau yang mempunyai penduduk. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan