POLITIK

PH PULAU PINANG DIBERI TEMPOH SEBULAN RUNDING DENGAN BN NEGERI - CHOW

19/03/2023 04:40 PM

BUTTERWORTH, 19 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang diberi tempoh sebulan untuk memuktamadkan perbincangan dan mencapai persetujuan dengan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung peruntukan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata beliau menerima arahan daripada pimpinan tertinggi gabungan politik itu semalam untuk memulakan rundingan dengan BN, bagaimanapun setakat ini perbincangan tersebut belum dimulakan.

“Kami baru menerima arahan untuk berunding tetapi kami belum memulakannya. Dengan arahan terbaru itu, kami mempunyai tempoh masa sebulan dari semalam, untuk memuktamadkan rundingan.

“Proses ini akan berterusan sehingga persetujuan dapat dicapai, kami menjangkakan beberapa pusingan rundingan. Pusingan pertama rundingan akan bermula dengan parti komponen PH dan selepas itu kami akan berunding dengan BN,” katanya pada sidang media di Konvensyen DAP Pulau Pinang 2023 di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada DAP Pulau Pinang sudah mula menapis calon berpotensi untuk pilihan raya negeri akan datang, Chow yang juga pengerusi parti negeri berkata perkara itu akan diselesaikan secara peringkat demi peringkat, kerana parti itu perlu terlebih dahulu mengetahui berapa banyak kerusi yang boleh ditandingi.

Namun demikian Chow berkata beliau berharap, DAP akan terus menang dengan cemerlang dan mengekalkan 19 kerusinya di Pulau Pinang, jika tidak lebih lagi.

Sementara itu, ketika berucap pada perasmian konvensyen itu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Pulau Pinang memainkan peranan penting, dalam memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Beberapa bulan sahaja lagi kita akan menghadapi satu lagi cabaran besar iaitu pilihan raya negeri di enam negeri termasuk Pulau Pinang, yang akan menentukan hala tuju negeri dan sama ada Kerajaan Perpaduan boleh meneruskan pentadbiran.

“Justeru Pulau Pinang memainkan peranan penting untuk Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal di Putrajaya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan