BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama pemilihan Ahli Majlis Tertinggi (MT) bagi penggal 2023-2026 diadakan hari ini melibatkan 189 daripada keseluruhan 191 bahagian di seluruh negara.
Walaupun keputusan belum diumumkan sepenuhnya, namun terdapat beberapa bahagian yang mencuri tumpuan antaranya kemenangan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandangnya itu, sejak 1962.
Mesra disapa Ku Li, veteran politik itu berjaya meraih 453 undi berbanding dua pencabarnya Che Mohd Izani Che Musa dengan 46 undi dan Datuk Saari Lembut yang hanya memperoleh lima undi.
Ku Li mula menyandang jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Gua Musang ketika berusia 25 tahun dan kemenangan yang diraih ini, sekali gus menobatkan beliau sebagai Ketua UMNO Bahagian paling lama berkhidmat di negara ini.
Pemilihan bagi penggal 2023-2026 merupakan kali kedua Tengku Razaleigh dicabar sepanjang 64 tahun memimpin UMNO Bahagian Gua Musang.
Di NEGERI SEMBILAN, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan turut mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang disandangnya sejak 2003 selepas menang tanpa bertanding untuk jawatan itu.
Di KEDAH, turut menang tanpa bertanding ialah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid yang mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap.
Di KELANTAN, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Ahmad Jazlan Yaakub kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Machang bagi penggal 2023-2026 selepas menang tanpa bertanding.
Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu Tan Sri Mohd Fatmi Mohd Salleh, Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri Kok Lanas Datuk Md Alwi Che Ahmad yang dipilih Ketua UMNO Bahagian Ketereh dan Datuk Zaluzi Sulaiman (Pengkalan Chepa).
Di TERENGGANU, Pengerusi UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Said berjaya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kemaman pada pemilihan UMNO bahagian itu, hari ini.
Bekas Menteri Besar Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu mendapat 401 undi menewaskan pencabarnya Datuk Mohamed Rahim Hussin yang memperoleh 286 undi.
Di PAHANG, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor menang tanpa bertanding Naib Ketua Bahagian Cameron Highlands, manakala bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Mohd Shahar Abdullah dipilih untuk menerajui UMNO Bahagian Paya Besar.
Di JOHOR, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menewaskan bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Hasni Mohammad sebagai Ketua UMNO Bahagian Pontian pada pemilihan bahagian kali ini.
Ahmad, 56, yang merupakan Timbalan Ketua Bahagian itu sejak 2008, meraih 388 undi berbanding bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu yang memperolehi 291 undi daripada 690 perwakilan yang hadir hari ini.
Sementara itu, Datuk Seri Azalina Othman Said mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pengerang yang disandangnya sejak 2008.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), meraih 261 undi sekali gus mengalahkan pencabarnya ahli perniagaan Datuk Mhd Tahir Mohd Noah yang mendapat 10 undi.
Sementara itu, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru yang diadakan di Hotel New York, di sini, hari ini ditangguh dan digantung selepas didapati terdapat pertambahan bilangan kertas undi.
Mengumumkan keputusan itu, Pengerusi Tetap UMNO Bahagian Johor Bahru Azmi Samin berkata ia dibuat selepas berlaku pertambahan bilangan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir.
Bagi Datuk Lokman Noor Adam yang baharu sahaja dibatalkan pemecatan dalam parti bulan lepas tewas kepada Datuk Mohd Lassim Burhan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Sri Gading.
Mohd Lassim yang dahulunya Timbalan Ketua Bahagian itu, memperoleh 333 undi berbanding Lokman 169 undi.
Di KEDAH, bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berjaya membuat kemunculan semula dalam arena politik negeri itu selepas menang jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar dalam pemilihan parti itu, hari ini.
Bekas ADUN Suka Menanti berusia 73 tahun itu menewaskan pencabarnya iaitu bekas pemangku Ketua UMNO Bahagian itu Zambri Mat dalam saingan satu lawan satu.
Sementara itu, berdasarkan keputusan tidak rasmi, anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Datuk Mohd Nazifuddin yang bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi menang jawatan itu selepas menewaskan pencabarnya yang juga bekas ADUN Kuah Nor Saidi Nanyan dengan kelebihan 12 undi.
Bekas Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid menjadi satu-satunya calon Ketua UMNO Bahagian yang menang tanpa bertanding di Kedah dalam pemilihan parti kali ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial