BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
PETALING JAYA, 18 Mac (Bernama) -- Ketua jurulatih Selangor FC Tan Cheng Hoe masih memberi peluang kepada dua penyerangnya Ayron Del Valle Rodriguez dan Yohandry Jose Orocoze, untuk menampilkan aksi terbaik mereka dalam saingan Liga Super musim ini.
Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu berkata beliau mengakui, bukan mudah untuk kedua-dua pemain import itu menyesuaikan dan mendapatkan rentak permainan terbaik, bersama skuad Gergasi Merah tersebut.
Jurulatih berusia 54 tahun itu, bagaimanapun optimis dengan kebolehan dan kemampuan yang dimiliki Ayron dan Yohandry, masing-masing dari Colombia dan Venezuela itu.
“Mereka masih lagi cari rentak dan peluang untuk jaringkan gol, tetapi semestinya barisan jurulatih tahu kualiti mereka, apa yang mereka mampu beri sumbangan untuk pasukan.
“Kita ada lima perlawanan sebelum berhenti rehat untuk Sukan SEA, saya rasa rehat ini terbaik untuk kedua-dua pemain pulihkan dan dapatkan rentak dan keyakinan dalam diri mereka,” katanya kepada pemberita selepas aksi Liga Super antara Selangor dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam tadi.
Pada perlawanan itu, Selangor mengalami kekalahan pertama Liga Super di bawah kendalian Cheng Hoe, selepas tumpas kepada pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) 4-0.
Sejak Cheng Hoe membimbing Selangor pada September lepas, anak buahnya menang tiga perlawanan, seri sekali dalam baki empat perlawanan musim 2022, sebelum mengekalkan rekod tanpa kalah dengan tiga kemenangan dan satu seri dalam empat perlawanan pertama musim ini.
Mengulas mengenai aksi malam tadi, Cheng Hoe mengakui barisan jentera serangan skuad Harimau Selatan itu berada dalam kelas tersendiri, menyebabkan skuadnya mudah dibolosi pada separuh masa kedua.
“Pemain (Selangor) perlu belajar sesuatu apabila hilang bola...reaksi perlu segera kerana pihak lawan ada kualiti tersendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial