AM

MRT Laluan Putrajaya dijangka tarik 100,000 penumpang tahun ini

16/03/2023 07:09 PM

PUTRAJAYA, 16 Mac (Bernama) -- Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya yang dibuka sepenuhnya pukul 3 petang tadi dijangka menarik 80,000 hingga 100,000 pengguna tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rapid Rail Sdn Bhd Amir Hamdan berkata jumlah penumpang akan meningkat selepas pembukaan sekolah pada 19 dan 20 Mac ini serta pengumuman tambang percuma selama dua minggu bermula hari ini hingga 31 Mac.

"Kita melihat kebiasaan jumlah penumpang akan meningkat hari ke hari mengikut pengalaman pengguna yang berkongsi di media sosial sekali gus menggalakkan pengguna sekitar laluan Putrajaya menggunakan perkhidmatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau operasi Stesen Putrajaya Sentral dan meraikan penumpang yang mula membanjiri stesen itu seawal 1 tengah hari, di sini hari ini.

Amir berkata laluan Putrajaya, yang merupakan jajaran terpanjang iaitu 57.7 kilometer, akan membantu mengurangkan kesesakan trafik terutama di lebuh raya berkaitan laluan Putrajaya.

Amir berkata Rapid Bas Sdn Bhd menyediakan 118 bas bagi jajaran Putrajaya merangkumi 44 laluan, melibatkan 23 stesen yang menempatkan bas perantaraan, dengan kekerapan 15 minit.

Beliau berkata laluan Putrajaya dijangka memanfaatkan populasi kira-kira dua juta dan peningkatan pengguna akan berlaku dari semasa ke semasa seperti pengalaman dengan MRT Kajang.

Sementara itu, Afizu Rajali, 48, berkata pembukaan laluan Putrajaya memberi kelegaan kepadanya kerana diberi pilihan pengangkutan awam selain Grab dan memandu kereta sendiri.

"Lebuh raya sekitar Putrajaya seperti Maju Expressway semakin teruk lalu lintas. Dengan adanya MRT laluan Putrajaya ia memberi pilihan kepada pengguna," katanya yang menetap di Putrajaya dan akan menggunakan perkhidmatan MRT untuk ke pejabat di Cyberjaya.

Jess Lee, 60, berkata beliau teruja setelah menunggu hampir 20 tahun untuk sistem pengangkutan di kawasan Cyberjaya dan Putrajaya.

"Saya balik dari London bercuti dan tinggal di Cyberjaya. Saya teruja Malaysia menambah baik sistem pengangkutan awamnya. Saya harap ia akan ditingkatkan lagi bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam seperti di negara-negara maju,” katanya.

Pelajar, S. Yatesh, 19, berkata MRT laluan Putrajaya itu memudahkan perjalanannya yang kini hanya perlu mengambil satu tren sahaja dari Sungai Besi untuk ke Kolej UNIKOP, Cyberjaya.

"Sebelum ini saya terpaksa bertukar dua jenis perkhidmatan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT) dan KLIA Transit ke Cyberjaya. Sekarang ini satu tren sahaja pergi ke Sungai Besi," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan