AM

BSN sumbang alat pemadam api, jaket keselamatan kepada Rumah Kebajikan, Balai Bomba

14/03/2023 02:23 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Bank Simpanan Nasional (BSN) akan menyumbangkan 260 unit alat pemadam api kepada rumah anak yatim dan kebajikan terpilih, serta 156 unit jaket keselamatan kanak-kanak, kepada 13 balai bomba di seluruh negara bernilai RM50,000 menerusi Program BSN Care: Sehari Bersama Bomba.

Ketua Eksekutif BSN Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata objektif utama program berkenaan adalah bagi memberikan kesedaran dan didikan mengenai cara menangani kebakaran dengan betul.

“Sebagai sebuah bank yang prihatin, BSN mengambil pendekatan ini untuk memupuk dan mendidik anak-anak dari usia muda, sekali gus melahirkan 'citizen life saver' dalam kehidupan seharian terutama ketika menghadapi situasi kecemasan.

“Kami berharap penghuni rumah anak-anak yatim dan kebajikan ini mendapat manfaat daripada aktiviti-aktiviti yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

BSN Care baru-baru ini telah mengadakan Program Keselamatan dan Kesedaran Kebakaran yang dianjurkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Balai Bomba dan Penyelamat, Jalan Hang Tuah di sini melibatkan 80 kanak-kanak dari rumah anak yatim dan kebajikan terpilih sekitar Lembah Klang.

Ia merupakan program pertama daripada beberapa siri aktiviti seumpamanya yang dirancang untuk dijalankan bersama kanak-kanak dari 65 buah rumah anak yatim dan kebajikan seluruh negara sepanjang tahun ini.

Turut hadir ialah Pengarah Negeri BSN Kuala Lumpur Mohd Hafis Hashim dan Timbalan Pengarah Negeri JBPM Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat.

Secara keseluruhannya 520 kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun akan terlibat dalam aktiviti yang diadakan di balai-balai bomba terpilih seluruh negara.

Antara pengisian aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu adalah latihan menyelamatkan diri di dalam rumah asap, demonstrasi dan latihan menyelamatkan mangsa lemas, simulasi bilik kawalan dan permainan fire truck, pameran kebombaan dan permainan VR di ruang galeri, pengenalan jentera-jentera bomba dan joy ride - Fire Rescue Tender.

Program BSN Care: Sehari Bersama Bomba adalah di bawah teras Keselamatan dan Kesihatan BSN Care bagi menyokong usaha berterusan untuk meningkatkan kualiti kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti serta program BSN Care boleh didapati menerusi laman sesawang BSN di www.bsn.com.my.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan