KOTA BHARU, 9 Mac (Bernama) -- MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) secara rasmi melancarkan cawangannya yang ke-47 bertempat di Jalan Sultan Yahya Petra di sini hari ini.
Ketua Pegawai Strategi MBSB Bank, Datuk Azlan Shahrim berkata pembukaan MBSB Bank cawangan Kota Bharu adalah penting kerana ia selari dengan kebangkitan perbankan digital di negara ini.
Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat pelanggan memilih untuk menguruskan kewangan secara fizikal dan bersemuka menerusi transaksi yang memerlukan khidmat nasihat terperinci.
"Cawangan ini berfungsi sebagai pusat tumpuan dalam kalangan komuniti setempat terutamanya di Kota Bharu.
"Dengan pembukaan cawangan ini juga pelanggan boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Akaun Simpanan PrimeWin-i dan Akaun Semasa PrimeWin-i yang menawarkan hadiah menarik termasuk wang tunai, kereta mewah, pakej percutian dan banyak lagi melalui penganjuran kempen 'Simpan Berganda Menang Bergaya 2.0' yang berlangsung sehingga 31 Mei, 2023," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan MBSB Bank Cawangan Kota Bharu di sini hari ini.
Azlan berkata, pihaknya komited untuk berkhidmat kepada masyarakat bukan sahaja menerusi produk-produk perbankan, tetapi melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti pada Disember lalu apabila bank tersebut menyalurkan sumbangan makanan asas melalui Program 'Box of Care' kepada 300 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu.
"Program CSR ini diteruskan pada Januari lalu dengan sumbangan 'Box of Care' yang turut diagih-agihkan kepada 150 mangsa banjir di daerah Kota Bharu, Pasir Puteh dan Pasir Mas.
"Ini membuktikan kita juga amat menitikberatkan program khidmat masyarakat dan turun padang bertemu golongan kurang berkemampuan dan mereka yang memerlukan," katanya.
Menurutnya, perkhidmatan MBSB Bank juga tidak hanya terhad kepada urusan pengeluaran dan penyimpanan wang sahaja, tetapi turut mengalu-alukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan pembiayaan yang ditawarkan untuk perbelanjaan modal, operasi dan modal kerja.
Beliau berkata selain itu, menerusi MBSB Bank, pengusaha PKS juga boleh memohon Skim Jaminan Kerajaan PEMULIH (PGGS) oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Berhad (SJPP) yang menyediakan pembiayaan baharu, kemudahan pembiayaan sedia dan lanjutan tempoh pembiayaan, serta modal kerja tambahan bagi menggiatkan semula perniagaan.
Beliau berkata MBSB Bank turut menawarkan Pembiayaan Peribadi-i dengan jumlah pembiayaan sehingga RM400,000 dan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun, dengan produk Deposit Bertempoh-i yang menawarkan kadar kompetitif sehingga 4.30 peratus setahun.
Katanya MBSB Bank Berhad merupakan institusi perbankan Islam sepenuhnya di Malaysia yang menyediakan kemudahan perbankan patuh syariah kepada pelanggan runcit dan korporat.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial