KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- KPJ Healthcare Berhad meningkatkan kesedaran mengenai pengesanan awal kanser serviks di seluruh negara, bersempena dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa hari ini, dan menggalakkan wanita untuk lebih peka terhadap penyakit itu dan bahayanya.
Pegawai Pemimpin KPJ Healthcare Norhaizam Mohammad berkata pihaknya telah menganjurkan inisiatif pengesanan awal dan hidup sihat kepada orang ramai bagi mengurangkan bilangan pesakit kanser pada masa hadapan melalui kerjasama dengan syarikat untuk menawarkan kemudahan pemeriksaan kanser serviks kepada kakitangan wanita mereka.
Selain itu, KPJ juga memperkukuh mesejnya untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan kesedaran kanser serviks menerusi saluran berbeza termasuk media sosial, menampilkan doktor dan kepakaran bidang berkenaan dalam artikel kesihatan.
“Kami berharap semua wanita akan melihat kepada inisiatif yang dilaksanakan KPJ ini, untuk menjaga diri anda dari segi mencegah kanser, jadi di KPJ kami percaya kanser ialah sesuatu yang boleh diubati dan dicegah.
“Sebab itu kami melancarkan vaksin HPV (virus papilloma manusia) pada harga RM1,500 di semua hospital KPJ,” katanya kepada Bernama selepas sambutan Hari Wanita Antarabangsa dan acara Kesedaran Kanser Serviks di sini hari ini.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, HPV diketahui ialah punca utama kanser serviks.
Norhaizam dalam kenyataan oleh KPJ Healthcare berkata terdapat banyak kes kanser serviks dikesan pada tahap lewat yang peluang untuk pulih adalah sangat rendah. Justeru, kesedaran sama penting dengan mengambil tindakan, pemeriksaan dapat membantu pengesanan awal yang akan menjurus kepada rawatan lebih awal dan peluang untuk pulih yang lebih tinggi.
“Wanita seorang yang kuat, tidak perlu diragukan lagi, tetapi dalam kekuatan untuk menguruskannya, kita sering tidak mengendahkan gejala dan menganggapnya sebagai tidak penting.
“Kami memerhatikan trend menaik dalam bilangan pesakit kanser pada tahap lewat beberapa tahun lepas, dan kanser ini akan menunjukkan gejala awal seperti sakit, keletihan dan ketidakselesaan. Saya mohon kepada semua wanita supaya membuat pemeriksaan, datang ke penyedia penjagaan kesihatan pilihan mereka untuk menjalani saringan kesihatan,” katanya.
Pada majlis itu, KPJ Healthcare turut mengumumkan kerjasamanya dengan Standard Chartered, PricewaterhouseCoopers (PwC) Malaysia dan Volvo Ingress Swede Sdn Bhd, tiga syarikat ini menawarkan pakej percuma Pap Smear dan kadar istimewa vaksinasi HPV kepada kakitangannya sebagai sebahagian daripada usaha kolektif untuk menyokong wanita dalam industri.
Menurut KPJ, vaksin HPV amat berkesan dalam mencegah jangkitan serviks dan boleh mencegah kebanyakan kes kanser serviks jika vaksin itu diberikan sebelum wanita terdedah kepada virus berkenaan.
Kenyataan itu memaklumkan di Wilayah Tengah, hospital KPJ Healthcare merekodkan lebih 225,000 pesakit menjalani saringan kanser wanita sejak 2018, termasuk mamogram (56,597), ultrabunyi payudara (73,280), pap smear (16,617), dan pemeriksaan kesihatan menyeluruh (79,485).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial