KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Jumlah dagangan niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) Bursa Malaysia Derivatives Bhd (BMD) mencatat rekod sejarah pada 2022, dengan 16.2 juta kontrak atau bersamaan 405 juta tan minyak sawit diniagakan di bursa.
Pengarah BMD Mohd Saleem Kader Bakas berkata prestasi dagangan yang cemerlang adalah lebih daripada lima kali ganda berbanding pengeluaran MSM global, di tengah-tengah ketidaktentuan harga tahun lepas.
"Pada masa sama, bursa juga mencapai jumlah dagangan tertinggi bagi semua produk yang digabungkan untuk tahun ketiga berturut-turut, dengan 19.1 juta kontrak diniagakan pada 2022.
"FCPO terus menjadi penanda aras harga global bagi pasaran minyak sawit mentah, dengan institusi asing meningkatkan penyertaan mereka dalam pasaran derivatif, menyumbang 54 peratus daripada jumlah dagangan produk kami, naik berbanding 46 peratus pada 2021," katanya ketika mengulas mengenai Sorotan BMD di Pameran Persidangan Unjuran Harga Minyak Laurik Sawit (POC2023).
Pencapaian itu menandakan daya tarikan kukuh produk Bursa Malaysia Derivatives kepada peserta pasaran termasuk keyakinan pelabur dalam menggunakan produknya bagi pengurusan risiko harga.
Bursa itu, komited untuk menawarkan penyelesaian pengurusan risiko kepada peserta pasaran bagi pendedahan risiko lindung nilai dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah.
Katanya, sejak pelancaran kontrak Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah Malaysia Timur (FEPO) pada Oktober 2021, BMD telah berjaya memudahkan penghantaran fizikalnya di ketiga-tiga pelabuhan penghantaran di Malaysia Timur. Menjelang 2022, terdapat lebih 5,000 kontrak FEPO diniagakan.
"Kami kekal positif bahawa penyertaan pasaran akan terus bertambah dan berusaha untuk menggalakkan kesedaran yang lebih tinggi mengenai kontrak tersebut," kata Mohd Saleem.
Beliau berkata ICS, yang merupakan penyebaran antara komoditi yang disenaraikan di bursa merangkumi kedua-dua kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah iaitu FCPO dan FEPO telah diperkenalkan untuk membolehkan pelaksanaan perdagangan spread yang lancar antara kedua-dua kontrak.
Ia menawarkan pelabur keupayaan untuk mengambil kesempatan daripada nilai perbezaan antara kedua-dua kontrak niaga hadapan, dengan itu membolehkan lindung nilai yang lebih besar daripada kedudukan mereka.
Beliau berkata Prosedur Penghantaran Alternatif (ADP) telah diperkenalkan pada 26 Sept 2022 bagi mengurangkan kekangan perdagangan membabitkan penghantaran terhad dengan bilangan lokasi yang diluluskan untuk penghantaran fizikal FCPO, FEPO dan Niaga Hadapan Minyak Kernel Sawit Mentah (FPKO).
Sementara itu, sejak pengenalan Dagangan Selepas Waktu Perniagaan pada Disember 2021, Mohd Saleem berkata bursa telah menyaksikan lonjakan dalam angka dagangan pada sesi malam.
Menjelang 1 Dis 2022, sesi Dagangan Selepas Waktu Perniagaan merekodkan jumlah harian tertinggi dengan 19,065 kontrak diniagakan.
"Kami juga telah menyaksikan purata jumlah dagangan malam lebih daripada dua kali ganda dari tahun ke tahun kepada 7,672 kontrak purata pada 2022, yang berjumlah 10 peratus daripada jumlah dagangan purata siang dan malam," katanya.
Selain itu, firma penjelasannya, Bursa Malaysia Derivatives Clearing Bhd telah diiktiraf sebagai Rakan Niaga Pusat Negara Ketiga Tier 1 atau TC-CCP, pada 7 Nov 2022 oleh Pihak Berkuasa Pasaran Sekuriti Eropah.
Ini membolehkan Bursa Malaysia Derivatives Clearing menyediakan perkhidmatan penjelasan kepada ahli atau tempat dagangan yang ditubuhkan di Kesatuan Eropah di bawah keperluan Peraturan Infrastruktur Pasaran Eropah (EMIR).
"Ini secara berkesan menjadikan Bursa Malaysia Derivatives Clearing cadangan yang lebih menarik kepada firma pelaburan serta bank-bank di Eropah memandangkan keperluan modal mereka untuk pendedahan kepada firma penjelasan adalah jauh lebih rendah apabila berurusan dengan TC-CCP yang layak," katanya.
Bursa itu tetap meneruskan usaha dalam memacu pembangunan mampan dalam rantaian bekalan minyak sawit melalui kerjasama strategik dan telah diterima secara rasmi sebagai ahli gabungan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) pada 24 Jun 2022.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial