EKONOMI

UDA HOLDINGS LANCARKAN SUKUK WAKALAH BERNILAI RM1 BILION

09/03/2023 10:22 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- UDA Holdings Bhd (UDA) melancarkan Sukuk Wakalah bernilai RM1 bilion dalam bentuk Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan Kertas Komersial Islam (ICP). 

UDA merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP). 

Presiden merangkap ketua pegawai eksekutifnya Datuk Mohd Salem Kailany berkata dana daripada penerbitan Sukuk Wakalah itu akan digunakan sebagai modal pusingan untuk pembiayaan projek pembangunan komersial, perumahan, perindustrian serta projek wakaf. 

"Selain itu, dana daripada Sukuk Wakalah ini akan digunakan oleh Pengurusan Aset Kumpulan UDA untuk memperkasa pengaplikasian tenaga solar di bangunan yang diselenggara oleh UDA dan seterusnya memperkukuh penggunaan tenaga boleh diperbaharui yang lebih mesra alam.

"Penerbitan Sukuk Wakalah itu diberi penarafan MARC-1IS/AA-IS oleh MARC Ratings Bhd, berdasarkan rekod prestasi UDA dalam pembangunan hartanah negara, imbangan tunai yang kukuh serta sumber pendapatan berulang daripada hartanah yang dilaburkan," katanya dalam ucapan pada majlis UDA Sukuk Townhall, di sini, hari ini. 

Penasihat Utama Tunggal untuk pelaksanaan program Sukuk Wakalah tersebut adalah RHB Investment Bank Bhd.

Mohd Salem berkata terbitan Sukuk Wakalah itu mengguna pakai Rangka Kerja Sukuk Kelestarian yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SSM) yang akan memenuhi sembilan Garis Panduan Pembangunan Lestari (SDG). 

"Secara khususnya, ia merangkumi antara lainnya Piawaian Bon Hijau ASEAN, Piawaian Bon Sosial ASEAN dan Piawaian Bon Lestari ASEAN.

"UDA yang kini mempunyai jumlah aset bernilai RM3.7 bilion yakin sembilan matlamat SDG tersebut akan dicapai berdasarkan pengalaman menjalankan operasi selama lebih 50 tahun dalam sektor pembangunan hartanah serta menjadi perintis dan model terbaik untuk pembangunan tanah wakaf," katanya. 

Menurutnya, nilai projek pembangunan UDA yang sedang dilaksanakan setakat penghujung bulan September 2022 ialah RM494.8 juta. 

"UDA juga mempunyai rizab tanah seluas 410.35 hektar dengan taksiran harga pasaran bernilai RM2.6 bilion. 

"Statistik yang kukuh ini meletakkan UDA di landasan yang tepat untuk terus menjadi antara peneraju utama di dalam sektor pembangunan hartanah negara," katanya.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya secara dalam talian berkata langkah UDA menerbitkan Sukuk Wakalah buat pertama kalinya adalah tepat pada masa memandangkan negara sedang melalui fasa pemulihan ekonomi yang kini menekankan kepada aspek kelestarian perniagaan. 

Katanya, penerbitan Sukuk Wakalah ini menjadi sejarah penting kerana UDA menjadi organisasi pertama yang menggunakan definisi Pelaburan Mampan Dan Bertanggungjawab untuk projek pembangunan hartanah wakaf.

“Usaha menerbitkan Sukuk Wakalah ini adalah seiring dengan tema, ‘Membangun Malaysia MADANI’ yang secara spesifiknya merujuk kepada salah satu daripada empat teras strategik utama yang disenaraikan iaitu, ‘Membina Semula Ekonomi.’ 

"Kejayaan menerbitkan Sukuk Wakalah ini akan memastikan kelangsungan atau kemampanan UDA untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara," kata Ewon Benedick. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan