EKONOMI

Dasar kabotaj Malaysia: Menyahut cabaran, antara kemajuan dan perlindungan

05/03/2023 11:12 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 5 Mac (Bernama) -- Dasar kabotaj Malaysia diwujudkan untuk menggalakkan dan membangunkan industri pemilikan perkapalan negara yang teguh di samping mengurangkan pergantungan negara terhadap kapal asing dan aliran keluar pertukaran asing dalam bentuk pembayaran barangan.

Bagaimanapun, berikutan ekonomi digital berkembang maju sekali gus menghasilkan berbilion sambungan secara dalam talian setiap hari dalam kalangan masyarakat, perniagaan, peranti, data dan proses, apakah pendekatan yang terbaik pada masa depan?

Perlukah kita terus mengekalkan dasar kabotaj untuk mempromosikan perniagaan perkapalan tempatan atau memilih untuk memberikan pengecualian kepada kapal pembaikan kabel dasar laut bagi memastikan negara tidak ketinggalan dalam keadaan pertumbuhan pesat ekonomi baharu?

Topik ini sentiasa berbangkit apabila melibatkan aspek komunikasi dan maritim terutamanya, apabila aktiviti global membuat pembaharuan dan ia membabitkan rangkaian kabel dasar laut, sistem kabel bersepadu secara kolektif menyediakan pemindahan data dari satu lokasi darat ke lokasi lain dan membawa kira-kira 90 peratus trafik data merentas benua dunia.

Rangkaian kabel dasar laut disifatkan sebagai kabel paling bernilai bagi sebahagian syarikat mega dunia, daripada Amazon sehinggalah Google.

Di dalam negara, isu ini dibincangkan dengan meluas. Bagaimanapun, berikutan kerajaan yang memerintah telah bersilih ganti, ia menjejaskan dasar kabotaj memandangkan kepimpinan berlainan mungkin mempunyai visi dan fokus kepimpinan yang berbeza.

Di bawah kepimpinan Kerajaan Perpaduan pada masa ini, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada Januari membayangkan untuk mengkaji semula sekatan dasar kabotaj bagi kapal pembaikan kabel dasar laut, satu langkah yang berpotensi kepada pembukaan perairan Malaysia untuk kapal asing menawarkan perkhidmatan sedemikian.

Ketika menjawab pertanyaan “The Edge” sama ada kerajaan mengkaji semula dasar kabotaj mengenai kapal pembaikan kabel dasar laut, tanpa mengulas terperinci, Loke berkata, “Ya (kerajaan sedang mengkaji semula dasar kabotaj sedia ada).” 

 

Ekonomi digital, FDI dan cabaran

Pensyarah kajian polisi dan polisi pembangunan Universiti Malaysia Terengganu Dr Abdul Rahman Abdul Latip berkata pengecualian dasar kabotaj dilihat menyumbang secara ketara terhadap ekonomi digital Malaysia dan meningkatkan daya saing negara serta menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini.

Ini bersesuaian dengan aspirasi MyDIGITAL negara ini untuk mentransformasikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang dipacu pendigitalan dan peneraju serantau dalam ekonomi digital.

“Strategi ini juga disifatkan bertujuan mempromosikan sektor perkapalan dan melindungi keselamatan negara. Untuk menjamin bahawa isu yang menjejaskan pelaksanaan dasar kabotaj tidak mengubah hala tuju pendigitalan negara, perspektif daripada semua pihak berkepentingan yang terlibat adalah penting dalam memastikan situasi menang-menang untuk negara dan peserta industri,” katanya.

Berikutan Malaysia kekurangan bakat tempatan bagi pembaikan kabel dasar laut, Abdul Rahman menegaskan bahawa kerajaan perlu menyediakan insentif untuk menggalakkan perniagaan perkapalan tempatan mewujudkan kapasiti dan sumber manusia bagi memenuhi keperluan standard aktiviti seperti penyelenggaraan kabel dalam air.

“Jika tidak, kita akan kekal ketinggalan dan terus bergantung kepada teknologi asing dan kepakaran teknikal,” katanya.

Perunding negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ang Chin Hup pula berpandangan, cabaran dasar kabotaj tidak hanya terhad kepada Malaysia memandangkan negara-negara Asean tidak mahu berkompromi dengan peraturan kabotaj, menyebabkan pelaksanaan Pelan Induk Perkapalan Tunggal Asean tidak memberangsangkan.

“Ia mungkin tidak mengurangkan integrasi ekonomi dalam kalangan negara anggota kerana negara anggota Asean bersaing untuk pertumbuhan ekonomi, tetapi ekonomi Asean mungkin lebih baik melalui integrasi perkapalan dan perdagangan, dan rantau ini boleh berada pada kedudukan lebih baik untuk berunding dan berdagang seperti Kesatuan Eropah,” katanya.

Dari perspektif maritim, Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA) Mohamed Safwan Othman berkata industri telekomunikasi menyasarkan perkhidmatan yang lebih pantas. Sehubungan itu, melalui pembaikan kabel dasar laut, dapat diperhatikan dalam beberapa artikel bahawa kabotaj dilihat menjadi tumpuan berikutan dianggap sebagai penyebab kepada tempoh tindak balas bagi pembaikan kabel Malaysia.

"MASA percaya kabotaj bukan penyebab utamanya," katanya sambil memaklumkan bahawa MASA mengambil maklum mengenai kajian semula dasar kabotaj.

“Bagaimanapun, kami menyokong penuh pembangunan pendigitalan di negara ini dengan penekanan khusus untuk membangunkan kumpulan kapal Malaysia dalam memenuhi keperluan pasaran.

“Sebagai tunjang kepada perdagangan global, maritim merupakan antara perintis dalam pendigitalan. MASA menyokong hal ini melalui mesyuarat Pertubuhan Maritim Antarabangsa dan menerima pakai idea itu di sini, dan kami bersedia untuk mengadakan dialog atau membincangkan masalah ini dengan semua pihak berkepentingan, termasuk Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom),” katanya.

Mohamed Safwan berkata, menjadi tanggungjawab MASA untuk menyebarkan maklumat yang tepat mengenai dasar kabotaj.

 

Membangunkan bakat tempatan

Maritim ialah industri berintensifkan modal, dan untuk menjadi peserta domestik yang kukuh, ia memerlukan masa dan wang. Pelaburan diperlukan untuk membangunkannya, dan ia akan membantu Malaysia untuk menangani defisit imbangan pembayaran semasa sebanyak RM32 bilion.

Oleh itu, tentunya lebih baik sekiranya Pikom dapat memberikan perhatian kepada idea untuk meningkatkan kemahiran tempatan, terutamanya dalam industri perkapalan.

Pengerusinya Ong Chin Seong berkata persatuan itu menyambut baik berita mengenai dasar pengecualian kabotaj sedang dikaji semula.

Katanya, walaupun butiran terperinci mengenainya belum diterima, ini bakal memberi petanda baik untuk Malaysia memandangkan negara berusaha untuk mencapai aspirasi digital, termasuk pelaburan dalam penyambungan kabel dasar laut di perairan Malaysia. 

“Ini juga akan membantu mengukuhkan keyakinan syarikat teknologi antarabangsa untuk melabur di Malaysia dan selaras dengan cita-cita kita dalam Rangka Tindakan MyDigital untuk mencapai sumbangan ekonomi digital sebanyak 25.5 peratus kepada ekonomi.

“Kita pasti mempunyai sambungan Internet yang berterusan, pantas dan boleh dipercayai, terutamanya untuk trafik masuk dan keluar negara, dengan tindak balas dan penyelenggaraan yang pantas serta lebih banyak kabel dalam air untuk berada di Malaysia,” katanya.

Namun, sehingga artikel ini disiarkan, tiada penglibatan langsung di antara pihak industri atau organisasi yang berminat meskipun kabotaj dikatakan menjejaskan pelbagai perniagaan.

Bagaimanapun, Pikom dan MASA menyokong sebarang perbincangan mengenai dasar kabotaj.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan