Oleh Linda Khoo Hui Li
BANGKOK, 25 Feb (Bernama) -- “Bazar Palang Merah Diplomatik” acara tahunan yang menawarkan pelbagai produk dari seluruh dunia kembali diadakan di Bangkok.
Berkonsepkan "Beli & Kongsi", sebanyak 176 gerai dari 55 negara mempamerkan produk terbaik dan popular seperti makanan, barangan pengguna, pakaian, aksesori, barangan rumah dan kelengkapan rumah.
Acara itu diadakan di Royal Paragon Hall di Siam Paragon, Bangkok bermula hari ini hingga 28 Feb.
Bazar berkenaan akan mengumpul dana untuk mereka yang kurang bernasib baik dan bagi membiayai projek Palang Merah di Thailand.
Pembelian dalam talian juga tersedia di www.DPCRedcrossBazaar.com.
Pameran beli-belah amal selama empat hari itu anjuran Persatuan Palang Merah Thailand, pasangan diplomat dan kedutaan yang berpejabat di Thailand.
Puteri Maha Chakri Sirindhorn yang juga Naib Presiden Eksekutif Persatuan Palang Merah Thailand merasmikan acara itu hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Peserta Diplomatik 2023 yang juga isteri Duta Malaysia ke Thailand Datin Catherina Cherian Samuel, Pengarah Biro Pengumpulan Dana Persatuan Palang Merah Thailand Khan Prachuabmoh dan ahli Jawatankuasa Peserta Diplomatik.
Catherina berkata komuniti diplomatik di Thailand teruja untuk menyumbang bagi membantu mereka yang memerlukan dengan mengumpul dana bagi membantu meningkatkan kualiti hidup golongan kurang bernasib baik.
“Dana yang dikumpul akan disalurkan untuk menyokong institusi penjagaan kesihatan serta menambah baik kehidupan masyarakat yang memerlukan termasuk kanak-kanak kurang berkemampuan, warga emas serta orang kurang upaya.
“Tahun ini, kami berharap dapat mengumpul sebanyak mungkin sumbangan melalui penjualan produk serta tiket bertuah,” katanya kepada Bernama.
Catherina berkata tahun lepas, jawatankuasa penganjur mengumpul kira-kira 9.09 juta baht menerusi acara itu.
Acara itu juga menjadi platform untuk memupuk dan mengukuhkan hubungan kerjasama dalam kalangan Persatuan Palang Merah Thailand, kor diplomatik, pasangan diplomatik, konsulat, agensi kerajaan, sektor perniagaan dan organisasi dalam Persatuan Palang Merah Thailand.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial