ISKANDAR PUTERI, 25 Feb (Bernama) -- Ketua Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT) Esteban Solari gembira dengan persembahan berkualiti ditunjukkan anak buahnya dalam aksi Piala Sumbangsih malam tadi.
JDT menewaskan Terengganu FC (TFC) 2-0 sekali gus merangkul Piala Sultan Haji Ahmad Shah kali keenam berturut-turut di Stadium Sultan Ibrahim di sini.
Meskipun berdepan tentangan sengit skuad Penyu, Solari berkata pemain telah bertahan dan berjaya mendapatkan kelebihan satu gol selepas lima minit perlawanan bermula.
“Ia permainan yang mencabar tetapi dalam separuh masa pertama, kami berjaya untuk cepat menjaringkan gol. Terengganu pasukan yang baik dan mempunyai pemain yang bagus dengan banyak peluang. Bagaimanapun dalam separuh masa pertama, pasukan kami mempunyai pergerakan yang baik, kombinasi yang baik dan kami mengawal permainan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, skuad Harimau Selatan meraih gol menerusi Juan Muniz pada minit kelima dan Bergson da Silva pada minit ke-55.
Solari berkata terdapat pelbagai aspek yang perlu diperbaiki terutama kelajuan pemain menggerakkan bola dan kombinasi lebih baik, selari dengan matlamat pasukan untuk menjadi yang terbaik bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa.
Warga Argentina itu berkata mereka akan terus melakukan yang terbaik terutama ketika berdepan KL City pada 1 Mac ini, yang dianggap sebagai pasukan kuat.
“Ia dijangka perlawanan yang sukar. Kami sudah menonton beberapa video dan memulakan persediaan, jadi pada kami, walaupun ia sukar, kami bersedia kerana kami sangat berhasrat untuk memecahkan rekod bukan sahaja dalam liga ini tetapi juga pada peringkat antarabangsa
“Berhubung penggantian atau perubahan pemain, kami akan tentukan kemudian kerana perlu melihat kepada kondisi pemain selepas perlawanan,” katanya
Sementara itu, Ketua Jurulatih TFC Tomislav Steinbruckner berkata beliau menerima kekalahan itu memandangkan JDT ialah pasukan yang kuat dan mengakui ketiadaan beberapa pemain utama mempengaruhi keputusan perlawanan.
Namun beliau berharap TFC akan mempamerkan persembahan lebih baik dan meraih mata ketika menentang Kedah pada Mac.
“Perlawanan selepas ini dengan Kedah dijangka sengit dan saya rasa Liridon Krasniqi akan bersedia. Habib Haroon masih cedera pada hamstring dan itulah isu utama saya, dalam midfield,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial