AM

Majlis Daerah Pekan layak dinaik taraf kepada majlis perbandaran - KPKT

25/02/2023 01:41 AM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Majlis Daerah Pekan (MDP) layak dinaik taraf menjadi Majlis Perbandaran Pekan (MPP) selepas memenuhi tujuh kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1971.

Berita baik itu telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

KPKT dalam kenyataan hari ini memaklumkan Seri Paduka menzahirkan rasa gembira dengan sembah taklimat berkenaan, lebih-lebih lagi Pekan adalah bandar kelahiran Baginda.

“Seri Paduka Baginda turut menyifatkan sembah taklimat itu sebagai cenderahati yang amat bermakna sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Baginda kelak.

“Seri Paduka Baginda juga perkenan untuk hadir ke majlis pemasyhuran MPP pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian,” menurut kenyataan itu.

Susulan dari sembah taklimat itu, KPKT akan membentangkan cadangan untuk menaik taraf MDP kepada MPP dalam Mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan serta kelulusan dalam masa terdekat.

“Tindakan selanjutnya bagi tujuan pewartaan akan diselaraskan bersama kerajaan negeri Pahang,” menurut KPKT.

Antara kriteria yang ditetapkan KPKT ialah mempunyai pendapatan daripada sumber kewangan yang mampan melebihi RM20 juta setahun dan kepadatan penduduk 150,000 orang.

Selain itu, MDP juga mempunyai keupayaan menyediakan peluang kepada para peniaga dan menggalakkan pertumbuhan aktiviti pelaburan, perniagaan dan komersial; mempunyai kemudahan infrastruktur yang memuaskan dan konsep perancangan bandar yang mampan; serta mempunyai program yang boleh menggalakkan penduduk setempat untuk membangunkan komuniti.

MDP diwujudkan di bawah Akta 171 pada 1 Julai 1988 dan pada peringkat awal penubuhannya, MDP mula beroperasi dengan mentadbir seluas 164.95 kilometer (km) persegi iaitu 4.27 peratus daripada keseluruhan daerah Pekan.

Seterusnya pada 1 Okt 2002, kawasan pentadbiran MDP telah diperluaskan dengan pertambahan kawasan dari 164.95km persegi kepada 2,351.8km persegi iaitu 61.8 peratus daripada keseluruhan daerah Pekan.

Kawasan operasi utama MDP termasuk Pekan, Chini, Nenasi dan Kuala Pahang.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan