KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) — Axiata Group Bhd menyasarkan pertumbuhan hasil sehingga 5 peratus, tidak termasuk peranti, bagi tahun kewangan 2023 selepas ia menyaksikan semua operasinya memberikan sumbangan walaupun dalam persekitaran pasaran yang tidak menggalakkan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Vivek Sood berkata syarikat itu menjangkakan penerusan momentum pertumbuhan memasuki tahun ini dalam beberapa pasaran sempadan yang cemerlang pada 2022 seperti Sri Lanka dan Bangladesh.
“Kami menjangkakan pertumbuhan satu digit yang rendah kerana persekitaran makro masih tidak begitu kondusif, inflasi tinggi dan kemampuan rakyat adalah satu cabaran (kepada pertumbuhan) dalam beberapa pasaran yang kami beroperasi," katanya kepada pemberita selepas taklimat mengenai keputusan tahun kewangan 2022 Axiata di sini hari ini.
Bagi perbelanjaan modal (capex), Vivek berkata kumpulan itu memperuntukkan RM7.1 bilion untuk capex tahun ini, yang sebahagian besarnya akan digunakan ke atas perniagaan menaranya di semua pasaran, berjumlah RM2.5 bilion termasuk operasi di Indonesia dalam jalur lebar tetap dan perniagaan mudah alih.
Keuntungan bersih Axiata melonjak kepada RM9.77 bilion pada tahun kewangan 2022 berbanding RM818.9 juta yang dicatatkan semasa tahun sebelumnya, didorong oleh peningkatan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta keuntungan bersih sekali sahaja daripada penggabungan Celcom-Digi.
Jumlah perolehan meningkat kepada RM21.73 bilion daripada RM19.99 bilion pada tahun kewangan 2021.
Berikutan itu, EBITDA kumpulan menokok 7.8 peratus dari tahun ke tahun kepada RM9.60 bilion dengan pertumbuhan di semua operasi, kecuali mudah alih di Sri Lanka dan Nepal.
— BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial