EKONOMI

MITI, PROTON, PERODUA BINCANG PERCEPAT PENGELUARAN KERETA EV NASIONAL, MAMPU MILIK --TENGKU ZAFRUL

22/02/2023 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) --  Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sedang berbincang dengan syarikat pengeluar kenderaan tempatan Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk mempercepatkan pengeluaran kenderaan elektrik nasional dan menawarkan pilihan kenderaan elektrik (EV) mampu milik, kata Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul turut menegaskan pada masa yang sama garis panduan semasa permit import (AP) turut ditambah baik dengan memberikan fleksibiliti ke atas kuantiti maksimum pengimportan kenderaan secara yang dipasang sepenuhnya (CBU) bagi kajian pasaran pra-pemasangan (Market Research Pre-Assembly - MRA) untuk EV supaya syarikat-syarikat pemasangan tempatan lebih berpeluang menilai keperluan pasaran baharu untuk segmen EV sebelum memulakan pengeluaran. 

"Langkah penambahbaikan ini juga dijangka akan memberi lebih pilihan EV untuk ditawarkan dalam pasaran kepada rakyat," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai hala tuju MITI bagi mendepani tahun 2023 dalam aspek meningkatkan pelaburan strategik, penjanaan peluang pekerjaan dan pembangunan kluster perindustrian baharu yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata MITI telah memperkenalkan Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional yang telah dilancarkan pada  6 Okt 2022 bagi mempercepatkan pertumbuhan jangka panjang  Malaysia melalui pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu.

"Bagi tempoh Januari sehingga September 2022, Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.

Menjawab persoalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pelaburan yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tengku Zafrul berkata secara umumnya, projek-projek yang diluluskan akan mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan. 

"Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan  tersebut, jumlah pelaburan yang direalisasikan adalah antara 75 peratus hingga 80 peratus dan kita harus memantau proses ini," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan