KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) mengesahkan telah menerima surat pembatalan pendaftaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (MASTAF) selaku badan induk kebangsaan.
Setiausaha Agungnya Datuk Abdul Halim Kader berkata ISTAF akan menyemak semula dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), mengenai surat pembatalan yang dikeluarkan pada 31 Jan lepas.
“Setiausaha Agung MASTAF Dr Noor Azam Samsudin bagi pihak Presidennya Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Majlis MASTAF, turut melampirkan surat daripada PJS Ibrahim Yusof bertarikh 31 Jan mengenai pembatalan pendaftaran melalui pembubaran Persekutuan Sepaktakraw Malaysia.
“Seperti diminta oleh ISTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF), turut dilampirkan salinan minit Mesyuarat Agung Luar Biasa MASTAF bertarikh 20 Jan lepas, mengenai pembubarannya sebagai Persatuan Sukan Kebangsaan kepada saya,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan ISTAF, hari ini.
Abdul Halim dalam masa sama mengesyorkan Presiden ISTAF Jen Dr Charouck Arirrachakaran, supaya menerima permohonan MASTAF untuk menarik diri daripada menjadi ahli gabungan ISTAF dan ASTAF dengan segera.
MASTAF mengumumkan pembubarannya berkuat kuasa 20 Dis, namun perkara itu tidak mengikut lunas perlembagaan badan induk itu di mana ia harus diputuskan menerusi mesyuarat agung khusus, salinan minit mesyuarat tercatat secara sahih pembubaran dipersetujui dua pertiga ahli gabungan yang berhak mengundi, selain perlu dimaklumkan kepada pihak PJS.
Kemelut sepak takraw negara bermula apabila ASTAF menyingkirkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) pada Mei 2021, susulan tindakan presidennya ketika itu Datuk Seri Ahmad Ismail, menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) atas kapasitinya sebagai Timbalan Presiden ASTAF, pada 24 Feb 2021.
Kemudian, MASTAF menjadi badan induk sepak takraw negara yang sah selepas diiktiraf sebagai ahli baharu ASTAF pada Mac tahun lepas, dan turut diterima menjadi ahli gabungan ISTAF pada April, namun memutuskan untuk dibubarkan pada Disember lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial