EKONOMI

MAHB lantik bekas hakim Mahkamah Persekutuan Zainun Ali sebagai pengerusi

17/02/2023 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) melantik Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutifnya berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAHB berkata Zainun sebelum ini menerajui syarikat itu dari 18 Jan 2019 hingga 11 Ogos 2020.

Ketika ini, Zainun ialah Pengarah Permodalan Nasional Bhd (PNB), Pengarah dengan Allianz Malaysia Bhd (AMB) dan perunding di firma guaman Zain & Co.

“Beliau merupakan hakim di tribunal pentadbiran Bank Pembangunan Islam Jeddah dan merupakan penimbang tara berdaftar di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC).

“Beliau juga menganggotai lembaga penasihat Rangkaian Integriti Kehakiman Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan timbalan pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” kata MAHB.

Sebelum memasuki dunia korporat, Zainun adalah ahli badan kehakiman Malaysia, bersara sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2018.

“Kerjaya cemerlangnya di mahkamah menyaksikan beliau melaksanakan beberapa penghakiman penting yang telah memberi impak kepada perundangan Malaysia,” tambah MAHB.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan