KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Projek pembangunan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) Kem Segamat di Johor dikesan mempunyai kelemahan dari segi proses pembayaran tidak teratur, menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu memaklumkan kerja pelebaran jalan melibatkan Arahan Perubahan Kerja (APK) berjumlah RM3.31 juta dimulakan sebelum kelulusan daripada Pihak Berkuasa Melulus dan pembayaran berjumlah RM234,142 dibuat sebelum kelulusan APK.
Semakan audit mendapati kerja bagi APK berjumlah RM3.31 juta dimulakan oleh kontraktor pada 25 Ogos 2021, iaitu sebelum kelulusan diberikan Pihak Berkuasa Melulus.
“Kelulusan APK No. 2 oleh Jawatankuasa Kelulusan Perubahan Kerja (KPK) Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan hanya dibuat pada 17 Nov 2021, manakala kelulusan APK No. 3 oleh Lembaga Perolehan (Kerja) Kementerian Pertahanan pula pada 7 Jan 2022,” menurut LKAN.
Bagi memastikan tindakan pematuhan terhadap bayaran projek pembangunan RKAT Kem Segamat, Kementerian Pertahanan disyorkan mengambil tindakan dengan memastikan APK diluluskan oleh Pihak Berkuasa Melulus sebelum kerja dilaksanakan supaya pembayaran dapat dibuat dengan teratur.
“Selain itu, kementerian terbabit perlu meningkatkan pemantauan semasa projek sedang dijalankan bagi memastikan projek dapat disiapkan mengikut tempoh masa ditetapkan,” menurut laporan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial