PEKAN, 15 Feb (Bernama) -- Orang Kurang Upaya (OKU), Mohd Khairi Othman tidak putus-putus mengucapkan syukur setelah impian memiliki rumah selesa akhirnya tercapai, menerusi inisiatif kurniaan Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA).
Lebih manis bagi Mohd Khairi, apabila Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menyempurnakan majlis penyerahan rumah tersebut hari ini.
Al-Sultan Abdullah juga berkenan meninjau rumah bertiang dengan tiga bilik itu, dibina dengan mengambil kira keperluan Mohd Khairi, 47, yang berkerusi roda kerana cacat kedua-dua belah tangan dan kaki.
"Ini rezeki kamu….Alhamdulillah. Jaga baik-baik (rumah ini)," titah Al-Sultan Abdullah kepada Mohd Khairi, yang bekerja sendiri dengan mengusahakan kedai runcit secara kecil-kecilan di kampung itu.
Pada majlis itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mencemar duli mengurniakan sumbangan kepada 15 orang asnaf di majlis tersebut.
Mohd Khairi yang ditemani isteri Zaleha Mohd Nafis, 48, dan anak tunggal mereka Muhammad Tasnim, 12, juga tidak menyangka pembinaan rumah itu turut mengambil kira pekerjaannya, apabila dilengkapi kedai di sebelah.
Anak jati Kampung Tanjung Pulai itu menyifatkan rumah tersebut sebagai 'rezeki bergolek' buat dirinya, memandangkan rumah asalnya yang terletak berhampiran sungai kerap dilanda banjir setinggi tiga ke empat kaki.
"Seri Paduka pernah mencemar duli ke rumah saya pada musim banjir dan bertanya bagaimana dengan barang di kedai runcit (yang terletak bersebelahan rumah) jika banjir?
"Semasa itu, saya maklumkan hanya reda jika tidak sempat dialihkan... tetapi saya dan jiran-jiran akan cuba selamatkan mana yang boleh," katanya.
Jawapan itu, menurut Mohd Khairi, menyebabkan Seri Paduka terus bertanya sekiranya beliau mahu sebuah rumah baru, jika dikurniakan.
"Saya cuma menjawab kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan. Tak pernah terbayang saya akan dapat rumah batu begini kerana pendapatan sendiri tidak menentu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial