KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd baru-baru ini menambah baik Rangka Kerja Penjualan dan Pembelian Sekuriti Islam – Transaksi Dirundingkan (ISSBNT), alternatif patuh syariah pertama di dunia kepada Pinjaman dan Peminjaman Sekuriti yang dilancarkan pada Disember 2017.
Dalam kenyataan pada Khamis, Bursa Malaysia menjelaskan rangka kerja itu melibatkan penjualan dan pembelian sekuriti patuh syariah, untuk mencapai hasil setara dengan transaksi pinjaman dan peminjaman sekuriti konvensional, namun distrukturkan mengikut prinsip syariah.
“Penambahbaikan ini termasuk ‘Opsyen Pemulihan Tambahan’ yang membolehkan pengguna mendapatkan semula atau membeli semula sekuriti itu jika status Sekuriti Layak untuk ISSBNT berubah kepada tidak patuh syariah, walaupun rangka kerja sebelum ini hanya membenarkan transaksi diselesaikan secara tunai menerusi komoditi murabahah atau penggantian dengan sekuriti patuh syariah yang sama sebagai opsyen pemulihan,” jelasnya.
Bursa Malaysia menambah Opsyen Pemulihan Tambahan meliputi penetapan tempoh bertenang tujuh hari pasaran untuk memudahkan dan menyediakan tetingkap yang ideal dan masa yang mencukupi untuk pemindahan dan transaksi sekuriti berlaku, selepas mengambil kira kitaran penjelasan dan penyelesaian T+2.
Bagaimanapun untuk opsyen ini digunakan, langkah itu mesti diselesaikan dalam tempoh tujuh hari pasaran daripada tarikh kuat kuasa Senarai Sekuriti Patuh Syariah yang dikemas kini oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata model ISSBNT yang ditambah baik ini dibangunkan sebagai maklum balas kepada permintaan industri bagi memenuhi keperluan landskap pasaran dan pelaburan yang dinamik masa kini.
“Opsyen penyelesaian tambahan akan menyediakan persekitaran dagangan yang lebih mudah untuk membolehkan peserta pasaran membeli dan menjual sekuriti patuh syariah secara lebih fleksibel di bawah model ISSBNT yang akan meningkatkan kecairan dagangan dan memperkukuh hala tuju aset sekuriti patuh syariah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial