KUALA LUMPUR, 7 Feb (Bernama) -- Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang bermesyuarat malam ini menubuhkan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi Plilhan Raya Negeri (PRN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata dua lagi jawatankuasa ialah Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.
“Jawatankuasa Pilihan Raya akan menumpukan pilihan raya negeri yang akan diadakan bila-bila masa termasuk hal-hal pembahagian kerusi serta memastikan tapak dan kesepakatan yang kukuh antara parti termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama sekretariat itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Jawatankuasa Pilihan Raya akan bersidang dalam masa terdekat melibatkan pengarah pilihan raya setiap parti.
Beliau berkata di bawah jawatankuasa itu juga akan ada jawatankuasa komunikasi strategik untuk menangani fitnah-fitnah melampau seperti dalam kes pembakaran al-Quran baru-baru ini.
“Dalam fitnah ini ada tokoh-tokoh agama yang kata kita (kerajaan) tidak berbuat apa-apa, sedangkan kita telah membuat kecaman keras, menteri luar juga ada memanggil Duta Sweden dan saya sendiri turut mengumumkan pengedaran sejuta naskah al-Quran,” katanya.
Dalam pada itu Anwar yang juga Presiden PKR berkata Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik akan memberi keutamaan dalam memantau dasar-dasar termasuk melibatkan kos sara hidup rakyat.
Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat mengumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung Sekretariat, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat manakala ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat.
“Pengerusi setiap jawatankuasa akan ditentukan kemudian, manakala terma bagi setiap jawatankuasa ialah memastikan setiap dasar-dasar disepakati bersama selain diputuskan dalam mesyuarat jemaah menteri.
“Sekretariat juga akan memberi pandangan tentang dasar Kerajaan Perpaduan dan memastikan semua pandangan diambil kira dalam merumuskan dasar-dasar yang akan dibuat,” katanya.
Beliau berkata Sekretariat Kerajaan Perpaduan akan bermesyuarat setiap bulan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial