SUKAN

ISU INDRA GANGGU FOKUS ZII JIA

06/02/2023 02:24 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia hanya mahu fokus dalam mencapai tahap prestasi terbaik, biarpun dikhabarkan bekas jurulatihnya Indra Wijaya mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadapnya atas dakwaan melanggar kontrak.

Pemain nombor empat dunia itu juga bingung apabila mengetahui mengenai perkara tersebut setelah kedua-duanya berpisah secara baik November tahun lepas.

Beliau berkata perkara itu yang mengganggu tumpuannya, kini diserahkan kepada peguamnya untuk tindakan susulan.

“Apa yang saya boleh cakap ialah saya rasa apa yang saya buat mungkin kadang-kadang sangat salah, kadang-kadang sangat betul. Apa yang sudah jadi saya tidak boleh ubah tetapi yang saya tahu kami berpisah secara baik.

“Saya pun tak nak komen terlalu banyak sebab komen banyak (nanti) salah banyak, nanti berita pun banyak, saya tidak mahu,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini, hari ini.

Kem latihan pusat itu sebagai persiapan skuad negara menghadapi Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia 2023 (BAMTC) di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dari 14 hingga 19 Feb ini.

Mengulas lanjut, Zii Jia yang merupakan juara Asia 2022 mengakui terganggu dengan situasi yang dilaluinya ketika beliau sedang memberikan tumpuan untuk membantu skuad negara di BAMTC.

“Saya pun orang, saya ada perasaan dan saya cuba sebaik mungkin untuk selesaikan perkara ini tetapi ia masih berlarutan jadi sudah tentu sedikit kecewa. Tapi saya tahu ini satu ujian tuhan bagi pada saya, ini ialah proses,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Dalam pada itu, pengurusnya yang juga kakak kepada juara All England 2021 itu, Lee Zii Yii mengesahkan peguam mereka telah menerima surat daripada peguam Indra.

“Saya tidak pasti apa isi kandungan surat itu. Kami tidak mahu isu ini berpanjangan dan menjadi lebih buruk, biar peguam yang uruskan,” katanya.

Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan, difahamkan Indra yang juga bekas bintang Indonesia dan mula melatih Zii Jia pada Februari tahun lepas, mungkin mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas anak buahnya atas dakwaan melanggar kontrak.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasinya, Zii Jia berkata beliau dalam proses mendapatkan semula keyakinannya selepas tampil dengan aksi tidak menyakinkan awal tahun ini.

“(Di Dubai) terpulang pada jurulatih nak bagi saya main atau tidak, kalau dipanggil saya bersedia untuk berlawan,” katanya.

Malaysia selaku pilihan keempat kejohanan di Dubai diundi dalam Kumpulan B bersama-sama India, Kazakhstan dan pasukan tuan rumah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan